“Saya memang 100% anak Malaysialah”- Itulah penjelasan ringkas pertahanan skuad kebangsaan dan Sabah, Dominic Tan mengenai asal usulnya yang kadang-kala disalah lapor oleh segelintir media.
Ada yang mengatakan beliau pemain naturalisasi atau pemain berdarah campuran tetapi sebenarnya, Dominic hanya lahir dan dibesarkan di Singapura kepada keluarga yang berasal dari Pulau Pinang.
“Keluarga saya mempunyai status penduduk tetap Singapura dan saya juga bersekolah di Sekolah Sukan Singapura. Memang Singapura ibarat negara kedua saya tetapi saya dan keluarga memang seratus peratus warga Malaysia.
“Memang saya boleh memilih untuk mewakili Singapura dan menjadi rakyat negara itu, tetapi saya memilih Malaysia kerana keluarga saya [berasal dari Malaysia],” kata Dominic ketika dihubungi Semuanya BOLA baru-baru ini.
Kerjaya professional Dominic di Malaysia bermula apabila mewakili Harimau Muda C dalam saingan Piala FAM pada 2014 dan kemudian beraksi bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada 2016.
Dominic kemudiannya beraksi bersama-sama skuad utama JDT pada 2017.
Di Sekolah Sukan Singapura, Dominic seangkatan dengan pertahanan Singapura, Irfan Fandi yang juga anak kepada legenda republik itu iaitu Fandi Ahmad.
“Memang saya masih rapat dengan Irfan, ketika bermain di Thailand sebelum ini juga kami kerap keluar bersama dan saya juga rapat dengan adiknya, Ikhsan.
“Apabila Malaysia bertemu Singapura baru-baru ini, biasalah persahabatan diketepikan seketika tetapi itu adalah perkara biasa buat kami sebagai pemain profesional yang bermain untuk negara masing-masing,” kata Dominic.
Selepas dua musim bersama Police Tero dalam saingan Thai League, Dominic tampak lebih matang bersama Sabah dalam saingan Liga Super musim ini.
Musim ini juga menyaksikan Dominic menjadi antara pemain sandaran pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee di posisi pertahanan tengah pasukannya.
Namun, Dominic sedar dia perlu terus bekerja keras untuk memastikan namanya sentiasa berada dalam senarai ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.
“Memang sekarang persaingan sebagai pemain pertahanan tengah skuad negara cukup sengit dengan beberapa pemain kini berada di tahap terbaik.
“Apa yang boleh saya lakukan ialah terus memberi aksi terbaik dan mengekalkan tempat saya dalam skuad negara serta cuba bersaing dengan rakan sepasukan untuk berada dalam kesebelasan utama,”kata Dominic.
Dominic turut menyuarakan kegembiraanya bermain dibawah kendalian Kim Swee di Sabah yang disifatkannya sebegai seorang jurulatih berwibawa yang mengubah mentaliti pasukan.
“Saya rasa kita semua tahu Datuk Ong [Kim Swee] adalah antara jurulatih tempatan yang terbaik. Memang saya cukup selesa selepas bermain dibawahnya dan biasa dengan corak latihannya kerana pernah berlatih di bawah beliau ketika di skuad B-23 negara.
“Bagi saya dia menerapkan mentaliti pemenang dalam skuad Sabah musim ini dan hasilnya kita dapat lihat dengan aksi konsisten Sabah dalam saingan Liga Super musim ini,” kata Dominic.