Serie A: Jersi Baharu, Gol Solo Martinez Kembalikan Inter Ke Tangga Ke-2

Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez yang masih dari bangku simpanan menjaringkan gol solo yang cukup menarik bagi melengkapkan kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Napoli dan kembali ke tangga kedua saingan Serie A pada awal pagi tadi.

Dendam Inter Milan yang tewas kepada lawan yang sama dalam saingan separuh akhir Coppa Italia akhirnya terbalas dengan dua gol pada setiap separuh masa sambil meraikan hari menyarung jersi baharu pasukan yang bercorak ‘zig zag’ biru dan hitam.

Pasukan tuan rumah meledak gol awal selepas hanya 11 minit perlawanan berlangsung apabila Danilo D’Ambrosio yang bijak menyudahkan hantaran ‘cut back’ Criatiano Biraghi dari sebelah kiri.

Ketinggalan satu gol, Napoli memperkemaskan corak permainannya dan memperoleh deretan peluang pada separuh masa pertama untuk menyamakan kedudukan, namun hampa dengan percubaan yang tersasar dan kecekapan Samir Handanovic.

Memasuki babak kedua, Napoli masih ghairah mencari gol namun segala peluang gagal diterjemahkan sehinggalah Martinez yang membuat larian dan membawa bola dari tengah padang melepaskan rembatan dari jarak 25 meter melepasi jangkauan Alex Meret untuk gol kedua Inter.

Kedudukan empat pasukan teratas dan slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan sudah pun terjamin buat skuad The Nerrazzurri selepas mengumpul 79 mata dengan hanya satu perlawanan sahaja berbaki.

Untuk perlawanan terakhir liga, perebutan kini hanyalah untuk tempat kedua dan seterusnya memandangkan Juventus telah pun mengesahkan kejuaraan mereka pada Ahad lalu.

Napoli yang telah menjuarai Coppa Italia tempoh hari hanya kekal di tangga ketujuh namun masih kekal bersaing di UCL dan dijadualkan bertemu Barcelona untuk perlawanan timbal balik pusingan kalah mati.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Inter Milan dan Serie A:

Leave a Reply