Bayangkan gandingan Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan penyerang ‘buangan’ Barcelona, Luis Suarez di jentera serangan Juventus. Pastinya gempak!
Di saat Suarez dimaklumkan oleh pengendali baharu Barca, Ronald Koeman yang beliau tidak diperlukan untuk saingan musim hadapan, pengendali baharu Juventus, Andrea Pirlo pula dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Suarez sudah berhubung
Nampaknya, tidak susah buatnya mencari kelab baharu apabila dibuang Barcelona, apabila Juventus dikhabarkan meletakkannya antara calon pengganti Gonzalo Higuain yang ditamatkan kontrak serta merta oleh The Old Lady baru-baru ini.
Suarez dijadikan sasaran oleh Pirlo yang dalam usaha membentuk skuad yang lebih segar sekiranya satu lagi sasaran mereka, Edin Dzeko gagal ‘dirembat’ daripada AS Roma – yang tidak akan melepaskan penyerang tersebut tanpa pengganti.
Rekod jaringan penyerang berusia 33 tahun itu dilihat tidak pudar dan masih boleh dianggap baik – musim lalu beliau meledak 21 gol dalam 36 penampilan. Secara keseluruhannya, sepanjang enam musim di Barca, 198 gol telah dihasilkannya.
Menurut laporan Mundo Deportivo, Suarez telah menghubungi Naib Pengerusi Juventus, Pavel Nadved untuk membincangkan mengenai potensi untuk dirinya menyertai kelab yang merupakan juara Serie A musim lalu itu.
Hanya tunggu Barca lepaskan
Menurut laporan susulan daripada Marca pula, segala perbincangan sudah semakin hampir untuk dimuktamadkan dalam perjumpaan kedua antara Suarez dan Juventus.
Semua terma kontrak dikhabarkan sudah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan hanya menanti keputusan daripada Barcelona. Jika kontraknya ditamatkan, Barcelona dijangkakan perlu membayar £12 juta, menurut Goal.
Sekiranya ia menjadi kenyataan, saingan Serie A akan menyaksikan gandingan bekas musuh lebih sedekad lalu di saingan La Liga, antara Ronaldo dan Suarez. Ketika di Sepanyol, Ronaldo beraksi bersama Real Madrid selama sembilan musim.
Dimaklumkan Suarez sudah melaporkan diri untuk sesi latihan walaupun dilanda khabar kurang gembira ini sambil menanti Barcelona melepaskannya secara rasmi.
Penutup
Dengan khabar Edin Dzeko sudah semakin hilang dibawa angin, Juventus cuba untuk menyelamatkan karier penyerang asal Uruguay tersebut ketika Barcelona mahu melepaskannya. Gandingan Ronaldo, Dybala dan Suarez pastinya menarik.
Sejauh mana trio tersebut mampu menggegar Serie A ataupun saingan peringkat Eropah tidak dapat dipastikan lagi namun, prospek untuk melihat trio tersebut bergandingan sangat mengujakan seluruh pemerhati bola sepak di dunia.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES