Kapten Real Madrid, Sergio Ramos telah mencipta rekod peribadi dan La Liga apabila menjadi pemain pertahanan pertama untuk menjaringkan gol secara berturut-turut selama 14 musim dalam pertandingan itu.
Ramos adalah seorang pemain pertahanan yang sentiasa mengancam kubu pertahanan lawan ketika gerakan set-pieces.
Dan kali ini beliau telah melakukan satu lagi pencapaian yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemain pertahanan di Sepanyol apabila menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Levante pada Sabtu lalu.
Selepas pulih daripada kecederaan betis, Ramos kembali beraksi dengan melonjak tinggi untuk menanduk masuk sepakan penjuru Tony Kroos selepas 11 minit perlawanan berlangsung di Estadio Ciutat de Valencia.
Jaringan tersebut merupakan jaringan ke-50 Sergio Ramos untuk Real Madrid di dalam La Liga, tatkala skuad kendalian Zinedine Zidane itu berusaha untuk memburu keputusan positif di peringkat domestik.
Bagaimanapun, Sergio Ramos, Zinedine Zidane dan Real Madrid terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Levante setelah Giampaolo Pazzini berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan untuk kedudukan berakhir dengan jaringan 2-2.
Sebelum itu, Emmanuel Boateng menyamakan kedudukan pada lewat babak pertama setelah Ramos meletakkan Real Madrid di hadapan, untuk kedudukan terikat 1-1 menuju separuh masa permainan.
Isco turut meletakkan Real Madrid di hadapan pada minit ke-81 perlawanan, namun Los Blancos pasti kecewa dengan keputusan seri ini setelah sebelum itu membelasah Deportivo La Coruna 7-1 di Santiago Bernabeu.
Untuk rekod, Fernando Hiero yang merupakan pemain Real Madrid di antara 1989 sehingga 2003, menjaringkan gol di dalam 15 musim berturut-turut di La Liga.
Namun demikian, Hierro bukanlah sentiasa bermain di posisi pertahanan ketika bersama Real Madrid.
Lionel Messi adalah seorang lagi pemain yang telah menjaringkan gol selama 14 musim berturut-turut, manakala pemain veteran Athletic Bilbao, Aritz Aduriz telah mencatatkan nama sebagai penjaring selama 13 musim berturut-turut di La Liga.