Lebih tua dan berpengalaman luas daripada Park Hang-seo, Vietnam Football Federation (VFF) bakal membawa masuk Philippe Troussier sebagai penggantinya bermula pada Februari, menurut portal Vietnam.
Menurut ZingNews, kata sepakat telah pun dicapai bersama Troussier dan hanya akan diumumkan selepas berakhirnya kontrak Park pada 31 Januari.
Lebih menarik, pengendali kelahiran Perancis itu sudah beberapa tahun bermastautin di Vietnam mengendalikan Vietnam B-19, 2019 hingga 2021.
Beliau juga merupakan Pengarah Teknikal untuk Akademi Bola Sepak, PVF selama dua tahun sebelum dilantik mengendalikan skuad B-19 Naga Emas.
Jadi, beliau tentu sudah arif dengan bola sepak di sana dan tiada masalah untuk mengambil alih skuad utama daripada Park Hang-seo selepas ini.
Selepas Park umumkan tidak akan menyambung kontraknya, VFF mula mencari pengendali yang sesuai untuk membawa mereka melangkah jauh.
Melihat Daripada Perspektif Kitaran Kerjaya, Kenapa Park Hang-seo Tak Bimbing Vietnam Di Piala Asia?https://t.co/H8oWvWKHHS
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) October 20, 2022
Park Hang-seo: Vietnam sudah sampai ke batasnya
Pengendali itu bukan sahaja mengenali bola sepak Vietnam, malah mesti berpengalaman luas dalam dunia bola sepak agar skuad yang dikatakan sudah tidak mampu melangkah jauh itu, boleh lagi memasang impian.
Vietnam sudah sampai ke batasnya. Dalam dua tahun terkini, Park dilihat sentiasa berkata yang kelab-kelab di V-League perlu meningkatkan kualiti mereka untuk melepasi batas tersebut – usaha tunggalnya tidak cukup.
Ketika di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia – di mana mereka hanya selangkah menuju ke Piala Dunia 2022, mereka teruk ‘dilunyaikan’ dalam saingan Kumpulan B. Walaupun ada dua keputusan positif, namun secara keseluruhannya, ia satu persembahan yang kurang konsisten oleh mereka.
Dua keputusan positif tentunya ketika mengikat Jepun 1-1 dan menang ke atas China 3-1. Untuk keputusan perlawanan lain, ia agak kurang baik.
Mungkin tekanan ini yang menyebabkan beliau rasa sudah tiba masanya untuk jurulatih lain mengambil alih kerusinya. Beliau telah beri segalanya dan Vietnam seperti sudah sampai te tahap maksimumnya. Beliau sudah tidak mampu mengharungi satu lagi pusingan kelayakan Piala Dunia.
–> RT @sport_satu: Kiatisuk Senamuang Beri Sinyal Enggan Melatih Timnas Vietnam https://t.co/nG3IAerw9e pic.twitter.com/cbMwmJV61x
— •Bambang Pamungkas• (@bepe20) September 25, 2017
Calon pengganti mestilah ‘extraordinary’
VFF melihat yang pengganti kepada pengendali sebagus Park Hang-seo mestilah yang lebih bagus daripadanya. Mungkin yang berpengalaman di pentas Piala Dunia? Dan siapa calon yang sesuai dengan kriteria tersebut?
Selain berpengalaman di pentas dunia, calon tersebut mestilah sudah masak dengan corak dan budaya bola sepak di Vietnam khasnya.
Paling penting, wujudkah pengendali sebegitu untuk mereka buru?
Troussier memiliki kedua-dua kriteria tersebut. Beliau pernah memimpin pasukan di Piala Dunia dan sudah masak dengan bola sepak Vietnam.
Untuk rekod, beliau pernah memimpin dua pasukan di Piala Dunia iaitu Afrika Selatan (edisi 1998) dan Jepun (edisi 2002). Dan mungkin yang paling berjaya adalah membawa Jepun mara hingga ke pusingan 16 terbaik – kali pertama dalam sejarah penyertaan pasukan mereka di Piala Dunia.
Apa rahsianya yang membawa kepada kejayaan Sumarai Blue?
Had the pleasure today to visit the PVF Academy in Hanoi. Mind-blowing setup for kids 10-17, who train 3 hours/day. School, cafe, state-of-the-art medical & conditioning setup – being run by former Japan coach Philippe Troussier. This is why Vietnam are an emerging Asian power. pic.twitter.com/Ug8bBWml9B
— Scott McIntyre (@mcintinhos) November 22, 2018
Troussier seorang yang lantang, ‘banyak bunyi’
Kita tahu karekter Park yang adakalanya menjengkelkan. Beliau juga kadang kalanya lantang bersuara. Dan begitu jugalah dengan Troussier.
Beliau sangat terperinci dalam membuat kerjanya. Apa yang beliau buat? Pertama, melantik penterjemah yang sangat cocok dengan gayanya.
Pengendali yang pernah dikaitkan sebagai calon pengendali Malaysia sekitar tahun 2014 itu memiliki dua penterjemah – satu untuk berdepan media tempatan dan pengurusan bola sepak J-League dan seorang lagi, penterjemah dari Perancis untuk berdepan dengan para pemainnya.
Mengapa perlukan penterjemah yang berbeza? “Saya perlu bawa budaya [gaya] saya. Sangat penting untuk saya memiliki penterjemah dari Perancis,” memetik kata-katanya kepada The New York Times, 23 tahun lalu.
Penterjemah dari Perancis itu akan bercakap atau menjerit kepada para pemain Jepun dengan tona suara yang sama dengan Troussier. Ia bagi membolehkan pemain mendapat lebih ‘rasa’ dalam penyampaiannya.
Ketika itulah Florent Dabadie, seorang pemuda kelahiran Perancis dilantik menjadi penterjemah dan tentunya orang paling dipercayai Troussier.
Yesterday was the Florent Dabadie 's birthday ,Time is running so fast ! Happy birthday Dude ! pic.twitter.com/8AZ6aJEIQ7
— ソルベニ SOL BENI@トルシエ (@sol_beni_3_4_3) November 2, 2016
Sebagai seorang yang lantang bersuara, tidak kira kepada persatuan, media mahupun pemain, beliau mendapat gelaran khas daripada pihak media di sana sebagai ‘Iblis Merah’. Bagi mereka, gaya Troussier bertentangan dengan budaya mereka yang lebih sopan dan tidak suka marah-marah.
Sesi latihannya juga seakan-akan latihan rugbi kerana beliau mahukan sisi agresif daripada pemain Jepun ketika itu. Beliau juga tidak segan silu memarahi pemainnya di depan muka mereka, jika melakukan kesilapan
Di saat ramai jangkakan jodohnya dengan Jepun singkat, beliau menerima kontrak baharu pada 2000 – untuk tempoh dua tahun dengan kenaikan gaji sebanyak 25 peratus. Nampaknya pendekatan kasarnya diterima. Ia berjaya memacu Jepun mara ke suku akhir Sukan Olimpik 2000. Skuad yang dibarisi pemain yang hampir sama berjaya memenangi Piala Asia 2000.
“Sangat mustahil untuk pengendali kelahiran Jepun untuk bertindak seperti saya. Mereka menghormati cara bersosial di kalangan masyarakat. Tetapi saya tidak terpengaruh dengan perkara di Jepun. Ia satu kelebihan yang amat besar,” ungkapnya lanjut kepada New York Times mengenai pendekatannya.
Vietnam harus menerokai puncak Asia dahulu
Pelantikannya adalah tepat kerana Vietnam perlu menerokai puncak Asia dahulu sebelum bermimpi ke Piala Dunia. Mereka sudah mara dua kali secara merit ke Piala Asia. Mereka berada di ranking ke-96 dunia dan ke-17 Asia. Di Piala Asia 2019, mereka mara sehingga ke pusingan suku akhir.
Park sudah melakukannya dua kali, namun untuk kali kedua, beliau sudah mengaku kalah. Bukanlah disebabkan Vietnam dilihat tiada potensi untuk mengulangi pencapaian lalu, tetapi mungkin beliau rasa yang Naga Emas perlukan sentuhan lebih berbisa dalam pentas Piala Asia kali ini.
Ketika tiba di Vietnam sebagai Pengarah Teknikal, beliau mempunyai misi untuk membawa Vietnam ke Piala Dunia 2026. Baginya, ia bukan sesuatu yang mustahil, nada yang sama dengan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon. “Ini menjadi peluang terbaik buat Vietnam,” ujarnya pada 2021.
‘Malaysia Masih Kekal Bermula Di Pusingan 1?’ – Ketahui Format Baru Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asiahttps://t.co/cqFgkRrmGG
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) August 2, 2022
New Harimau Malaya head coach Kim Pan-gon is ready to transform Harimau Malaya and take the team to the next level.
"Malaysia’s potential is huge. We will build a strong foundation first, and move forward by focusing on bigger picture, which is to get into the World Cup." pic.twitter.com/hvkbQXIUbK
— BFM News (@NewsBFM) February 18, 2022
“Piala Dunia 2026 akan melibatkan 48 pasukan. Ini menjadi peluang terbaik buat Vietnam. Jika sembilan atau sepuluh pasukan Asia layak untuk ke Piala Dunia, cukuplah kita sasarkan untuk berada di kalangan 10 pasukan terbaik Asia. Itulah impian besar saya,” memetik katanya kepada Football Asian.
Sejak dilantik pada 2017, Park boleh dianggap sebagai jurulatih paling berjaya di Vietnam dengan kejayaan merangkul pelbagai kejuaraan.
Antara yang terus dikenang adalah menjulang kejuaraan Piala AFF 2018, mara ke suku akhir Piala Asia 2019 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022. Selain itu, beliau juga berhasil memenangi pingat Emas Sukan SEA sebanyak dua kali, mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018 serta muncul sebagai finalis Kejuaraan AFC B-23 2018. Amat mengagumkan!
Penutup
Mungkin inilah sebab mengapa Troussier menjadi pilihan utama VFF. Sejak dahulu beliau memiliki impian yang sama dengan VFF, untuk membawa pasukan ke Piala Dunia. Dan di sinilah pengendali tersebut harus mula membawa pasukan cuba menjejak kaki ke kejohanan terbesar di dunia itu.
Selain karekter yang hampir sama dengan Park, beliau memiliki iltizam dan impian yang lebih besar. Beliau juga ada pengalaman membawa pasukan di Piala Dunia bersama Afrika Selatan dan Jepun. Menepati citarasa Vietnam.
Jadi, adakah langkah VFF tepat? Hanya masa yang akan menentukan sama ada beliau hanya setara atau pun lebih baik berbanding Park Hang-seo.