Penyerang Southampton, Danny Ings disifatkan oleh pengurus veteran, Neill Warnock sebagai individu lebih sesuai buat Manchester United untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan sementara Marcus Rashford akibat kecederaan dialaminya.
Seperti yang diumumkan awal pagi tadi, Manchester United baharu sahaja membawa masuk Odion Ighalo secara pinjaman sekaligus menjadikannya sebagai pemain dari Nigeria pertama yang bakal beraksi bersama kelab tersebut.
Kehadiran penyerang berusia 30 tahun itu ke Old Trafford menyaksikan beliau akan merebut tempat di kesebelasan utama bersama-sama Anthony Martial dan Mason Greenwood.
Menurut sumber Goal, Warnock menilai Ighalo tidak mempunyai ciri-ciri diperlukan oleh The Red Devils dan turut memilih Ings sebagai calon yang sepatutnya dibawa menyertai pasukan.
”Saya cuba untuk menandatangani Ighalo ketika membimbing Cardiff [City]. Gajinya melebihi enam angka seminggu, £100,000, sesuatu yang seperti itu.”
”Manchester United jelas tidak bermasalah dengan terma berikut. Saya tidak pasti dia merupakan pemain yang tepat buat United. Dia tidak konsisten dan bukan jenis pemain yang tepat,” ujar Warnock
”Mereka memerlukan pemain muda. Mengapa tidak mencari Danny Ings? Dia pemain yang sama seperti Marcus Rashford. Ini adalah keadaan terdesak.”
Danny Ings ketika ini sedang menikmati karier cemerlang bersama Southampton selepas berjaya menjaringkan 14 gol daripada 24 perlawanan Liga Perdana Inggeris 2019/20 yang dilalui.
Kredit foto: Matt Watson/Southampton FC via Getty Images