Nasir Basharudin Hanya Fokus Berikan Yang Terbaik

Nasir Basharudin

Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Mohamad Nasir Basharudin mengakui beliau enggan terbuai dengan pujian menggunung para penyokong susulan persembahan yang dipamerkannya dalam perlawanan pra-musim.

Pemain yang bakal menjengah usia 30 tahun pada bulan Mac itu sebaliknya mahu terus fokus dan bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya di atas padang.

Menurut laporan sebelum ini, nama Nasir mula meniti di bibir para peminat TFC yang beranggapan aksi dipamerkan pemain tengah bertahan itu amat memuaskan.

”Rakan-rakan ada berkongsikan perkara ini [pujian penyokong Terengganu] kepada saya. Meskipun masih terlalu awal tetapi ini merupakan perkembangan yang baik juga buat saya untuk terus bekerja keras.”

”Di mana jua saya berada, saya akan sentiasa berusaha bagi memberikan yang terbaik berbekalkan apa yang saya miliki. Saya berharap dapat meningkatkan lagi prestasi dari semasa ke semasa untuk merebut tempat di kesebelasan utama TFC,” ujar Nasir kepada wakil Semuanya BOLA.

”Bagi saya, persiapan TFC juga kini berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai sesuatu yang lebih baik pada musim 2020 ini. Ia merangkumi persiapan di dalam mahupun luar padang.”

Nasir Basharudin bersama ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan penolong pengurus Terengganu FC.

Ketika ditanya adakah beliau mudah untuk menyesuaikan diri dengan falsafah ketua jurulatih, Nafuzi Zain, ini adalah respon daripada Nasir Basharudin:

”Sebagai pemain profesional, pemain perlu untuk menyesuaikan diri dengan falsafah yang diterapkan oleh jurulatih kerana ia penting buat kami untuk menterjemahkannya di dalam padang.”

”Bagi saya, apa yang telah diterapkan oleh ‘Coach’ Nafuzi Zain kepada para pemain, semakin menampakkan keserasian dari hari ke hari sejak hari pertama saya melaporkan diri sebagai pemain TFC.”

Nasir dan skuad Terengganu FC kini berada di Thailand untuk tiga perlawanan pra-musim yang dirangka di sana. Aksi pertama menyaksikan mereka tunduk di tangan Police Tero dengan keputusan 0-2.

Dua lagi aksi yang bakal dilalui adalah bertemu Suphanburi FC pada hari ini manakala aksi terakhir menentang kelab dari China, Tianjin Teda FC, berselang dua hari kemudian. Kesemua perlawanan berlangsung di Alpine Football Training Camp.

Kredit foto: Terengganu FC

Leave a Reply