Yusri Che Lah selaku pengendali utama Perak menegaskan mengenai diri beliau yang tidak akan sesekali mengabaikan situasi semasa pasukan dengan meninggalkannya pada saat genting seperti ini walaupun jelas agak terkilan dengan krisis dalaman yang sedang melanda kelab tersebut.
Menurut beliau, walaupun tidak pasti bila krisis dalaman pasukan kendaliannya bakal berakhir, Yusri tidak akan sesekali meninggalkan anak-anak buahnya dan tidak pernah sesekali merasa sesal untuk mencurahkan segala keringatnya buat Perak atas rasa tanggungjawab dalam diri.
Malah, bekas pengendali skuad Projek FAM-MSN pada musim lalu itu juga memberi pengharapan yang tinggi agar segala kemelut yang melanda Perak di luar padang pada musim ini dapat ditangani dengan baik agar kelab tersebut tidak terus dirundung malang dan menjadi bertambah buruk sehingga menjejaskan terus motivasi para pemain.
Yusri juga berkata, daripda 20 pemain yang pada asalnya boleh didaftarkan, mereka hanya mampu mendaftar seramai 17 pemain sahaja tanpa sebarang khidmat import dan rata-rata pemain yang ada masih muda serta tidak begitu berpengalaman untuk beraksi di saingan Liga Premier.
Tambah menyedihkan, tiga daripada 17 pemain tersebut mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang terpaksa berehat panjang untuk terus memberi kedukaan dalam kem Perak ketika ini.
“Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, situasi ini paling mencabar kerana pertama kali mempunyai pemain yang begitu terhad selain pemain berkenaan pada awalnya tidak berada dalam perancangan saya musim ini.
“Saya tidak pasti sampai bila akan berdepan dengan situasi sebegini, jika ikut peraturan mungkin sehingga jendela kedua perpindahan pemain dibuka, namun ia juga bergantung kepada bayaran denda yang dikenakan kepada pihak pengurusan.
“Tapi saya tidak sesekali menyesal membimbing pasukan ini walaupun tertekan, mungkin saya akan terus bertahan ataupun sebaliknya, saya pun tidak pasti kerana perlu melihat perkembangan seterusnya.
“Seandainya saya tidak mampu lagi membimbing pasukan ini, jalan keluar (meletak jawatan) mungkin adalah lebih baik… tapi sejujurnya saya kasihan dengan pemain… saya tidak sanggup membiarkan mereka dalam situasi sebegini.
“Jika saya meninggalkan pasukan pun biarlah semuanya selesai tanpa sebarang masalah, lagipun aksi dipamerkan pemain tidak menunjukkan mereka bermasalah, saya harap peminat memahami situasi ini dan terus menyokong pasukan kerana mereka beraksi dan berkorban demi negeri walaupun pemain tidak mendapat gaji penuh sejak lima bulan lalu.
“Namun besar harapan saya usaha yang dilakukan pihak pengurusan dapat segera diselesaikan bagi memastikan pasukan dapat terus bersaing hebat dalam kancah Liga Perdana sekali gus kembali semula ke saingan Liga Super musim depan,” katanya ketika ditemui selepas pasukannya tumpas 0-3 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi menerusi Berita Harian.
Dalam masa sama, ketika diminta mengulas mengenai perlawanan semalam nyata pengendali berusia 46 tahun itu akui krisis dalaman yang melanda pasukan sebagai salah satu faktor para pemainnya berada dalam tekanan serta tidak mahu mencipta sebarang alasan yang tidak munasabah kepada media.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!