Sebaik hujan lebat melimpahi bumi Bukit Jalil malam tadi, ‘mereka’ tumbuh bagai cendawan walaupun sebelum itu, tiada langsung ‘bunyi’ daripada mereka di saat untuk mempromosikan saingan kelayakan Piala Asia 2023.
“‘Influencer’ yang bab nak mengajak orang ramai sokong negara sendiri dia senyap, tapi sebaik saja ada isu padang buruk dia terpaling lantang.”
Twitter RimauXI
Satu ciapan yang tegas dan menarik perhatian daripada seorang pengguna Twitter, Rimau XI mengenai sesetengah ‘influencer’ atau pemengaruh waima orang kenamaan yang hanya tahu menangguk di air yang keruh saban masa.
Mereka ini tiada masa untuk membantu mempromosikan perlawanan yang maha penting buat skuad negara yang dalam usaha untuk layak ke Piala Asia secara merit setelah kali terakhir melakukannya pada 1980.
Kalau tak layak nanti, mereka-mereka ini jugalah yang akan berbunyi. Bab dana, bab rasuah dan sebagainya.
Kali ini, peluang itu terhidang di depan mata. Semua perlawanan dilangsungkan di halaman sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), hasil bidaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dan sebelum saingan bermula FAM telah memalu gendang penjualan tiket Kombo iaitu RM100 untuk enam perlawanan. Mahu apa lagi?
Siaran Media: FAM Perkenal 'Tiket Kombo RM100' Untuk Tonton Kesemua Enam Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Di Bukit Jalil Jun Ini pada satu harga istimewa iaitu RM100 menerusi pembelian awal pada waktu terhad dari 16 hingga 29 Mei 2022 di https://t.co/QfG9PjBraL.#FAM pic.twitter.com/tyVzp21O6h
— Christopher Raj 🇲🇾 (@chrisraj23) May 9, 2022
Yang tinggal hanyalah, tolong promosikan perkara ini kepada rakyat Malaysia terutamanya ‘follower’ anda.
Tetapi, tidak. Tiada inisiatif daripada sesetengah golongan ‘influencer’ sebegini untuk membantu negara.
Aksi berdepan Turkmenistan, jumlah kehadiran para penyokong adalah 21,591 orang dan ketika tewas kepada Bahrain, jumlah kehadiran penyokong adalah 63,925 orang.
Jurang perbezaan mungkin disebabkan perlawanan diadakan pada hari cuti dan penyokong dari serata negeri di seluruh Malaysia dapat hadir bersama-sama.
🖤💛 Terima kasih kepada 21,591 orang penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan pertama Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia lwn Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. pic.twitter.com/PU7f0dXIhg
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 9, 2022
Jadi, apakah sumbangan para pengkritik keadaan padang SNBJ pada ketika membantu menarik lebih ramai penyokong untuk memenuhkan stadium?
Adakah hanya selepas timbul isu, barulah mereka tumbuh bagai cendawan selepas hujan – ironinya memang selepas hujan lebat, mereka muncul sejak tengah malam tadi.
Semua tahu, skuad negara sangat teransang dengan gema sorakan penyokong terutamanya di laman sendiri.
Dan itulah punca mengapa pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sentiasa memuji penyokong.
Mengapa Kim Pan-gon Tampak Sangat Obses Dengan Ultras Malaya?
Ultras Malaya dan penyokong fanatik juga dilihat ada inisiatif mereka termasuklah dalam kalangan pengamal media.
Tetapi, ‘senyap sunyi’ daripada sesetengah ‘influencer’ yang sibuk dengan perkara lain berbanding untuk bantu menekan butang kongsi sekalipun. Tiada sesiapa minta mereka membuat ‘review’ dengan kata-kata indah.
Malah, ada pula di kalangan mereka yang mencari tiket-tiket percuma walaupun lebih daripada mampu untuk membelinya. Untuk mengeluarkan wang bagi menyokong negara sendiri pun masih mengharapkan ‘bantuan’?
Tetapi, selepas keadaan padang SNBJ berada dalam keadaan teruk malam tadi, mereka mula munculkan diri di tengah kekalutan bumi Malaysia. Pelbagai dakwaan dan tuduhan liar mula keluar daripada mulut mereka.
Ya, ia memalukan negara melihat keadaan padang sebegitu. Ditambah pula dengan cara pengurusannya yang menambah keperitan di mata semua.
Namun, pihak pengurusan SNBJ telah tampil menjelaskannya. Dikatakan FAM yang bertegas perlawanan dilangsungkan mengikut masa ditetapkan dan menggunakan ‘kaedah’ sodok.
Begitupun, itu isu dan urusan antara FAM dan pengurusan stadium. Benda sudah berlaku di depan ribuan penyokong, malahan jutaan mata yang menonton perlawanan malam tadi.
Ini bukan masa untuk menangguk di air keruh dan menunggang isu ini dengan isu politik dan sebagainya. Buat ‘influencer’, cukup-cukuplah bermain isu ini.
Malaysia masih berbaki satu lagi aksi penting berdepan Bangladesh pada Selasa. Apa kata bantu pula untuk promosikannya agar SNBJ dipenuhi gempita penyokong Harimau Malaya yang diperlukan para pemain.