Aksi Berdepan Bangladesh, Syihan Hazmi Wajar Diberi Peluang Dalam Kesebelasan Utama?

Malaysia yang mencatat kekalahan pertama dalam aksi kedua peringkat Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 kepada Bahrain nyata mendapat pelbagai reaksi daripada para penyokong Harimau Malaya.

Ada segelintir penyokong yang tetap berbangga walaupun Malaysia tewas dalam perlawanan tersebut, manakala sebahagian lagi tidak dapat menerima keputusan itu dengan pendapat tersendiri.

Farizal Marlias antara pemain yang mendapat kecaman hebat oleh segelintir penyokong di media sosial setelah penjaga gol tersebut dianggap antara pemain yang menjadi punca kekalahan skuad kebangsaan.

Pada perlawanan tersebut, Farizal membuat sedikit kesilapan dengan mengasari pemain lawan ketika dalam situasi Bahrain menyerang di petak penalti Malaysia.

Kesilapan tersebut menyebabkan Bahrain diberi sepakan penalti oleh pengadil sebelum Abdulla Yusuf Helal mudah menjaringkan gol dan mengesahkan kemenangan mereka di penghujung perlawanan dengan keputusan 1-2.

Umum diketahui sejak beberapa tahun ini Farizal merupakan penjaga gol utama skuad kebangsaan dan antara pemain yang sangat konsisten bersama kelab diwakilinya, Johor Darul Ta’zim (JDT) sehingga membantu pasukan tersebut untuk beraksi di pusingan akhir saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Penjaga gol berpengalaman ini sukar digugat posisinya di skuad kebangsaan biarpun saban tahun ada beberapa pemain muda berjaya diperkenalkan.

Untuk perlawanan terakhir Malaysia bertemu Bangladesh pada Selasa ini, mungkin Farizal perlu direhatkan agar pemain tersebut kembali memperoleh keyakinan terbaik untuk beraksi kembali bersama skuad kebangsaan.

Posisinya itu dilihat boleh diberi peluang kepada penjaga gol lebih muda dan berpotensi iaitu Ahmad Syihan Hazmi yang mempamerkan aksi berkualiti sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Selain diberi peluang pendedahan untuk beraksi, Syihan juga boleh dipersiapkan oleh skuad kebangsaan kini selaku bakal pengganti kepada Farizal selaku penjaga gol masa hadapan negara kerana usianya masih muda.

Rekod beliau bersama Negeri Sembilan pada musim ini dalam aksi Liga Super juga boleh dikatakan sangat bagus apabila daripada 37 percubaan dihadapi beliau sepanjang lapan perlawanan membabitkan kelab tersebut, Syihan hanya melepaskan tujuh gol menurut Data Sukan.

Kali terakhir Syihan beraksi bersama skuad kebangsaan ketika umurnya masih muda iaitu 17 tahun sewaktu bawah kendalian Datuk K. Rajagopal untuk menentang Palestin.

Jika beliau dipilih beraksi selaku pemain kesebelasan utama menentang Bangladesh pada Selasa ini, maka perkara tersebut menjadi lembaran baharu buat Syihan untuk membuktikan sesuatu buat Kim Pan-gon dengan mempamerkan gaya permainan lebih positif.

Selain Syihan, Malaysia masih ada seorang lagi penjaga gol lebih berpengalaman iaitu Khairulazhan Khalid yang sering bertukar posisi selaku penjaga gol utama bersama Farizal dalam skuad kebangsaan.

Persaingan untuk ketiga-tiga pemain ini merebut posisi utama penjaga gol negara dilihat sangat sengit memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri untuk mencuri perhatian Pan-gon dalam sesi latihan.

Leave a Reply