Dechi Marcel N’Guessan secara rasminya kembali menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas kali terakhir mewakili Kedah Darul Aman (Kedah) pada musim lalu.
Menerusi penyertaan beliau bersama Kuching City musim ini, pastinya kehadiran Marcel ditagih pasukan tersebut untuk memperkukuhkan kembali jentera tengah mereka.
Kuching City menjadi salah satu pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Liga Super musim ini, selepas tampil sebagai antara kelab paling cemerlang tahun lalu dalam aksi Liga Premier.
Walaupun begitu, segalanya tampil dengan tidak begitu berjalan lancar buat pasukan tersebut untuk bersaing bersama kelab-kelab lain atas masalah prestasi serta konsistensi permainan di atas padang.
Menerusi jendela perpindahan kedua yang sudah dibuka kini, Kuching City menjadi antara kelab yang aktif menandatangani khidmat pemain baharu dalam usaha untuk tampil berdaya saing.
Antara masalah utama Kuching City musim ini pastinya terarah kepada posisi tengah mereka yang dilihat kurang kreatif serta tidak mampu menguasai dengan baik dalam setiap perlawanan dihadapi.
Maka, kehadiran Marcel pastinya sangat ditagih terutama sekali sebagai jeneral utama di posisi tengah supaya isu penguasaan bola dapat diselesaikan dengan baik.
Seperti diketahui, Marcel merupakan pemain yang mempunyai kerajinan serta stamina sangat tinggi untuk bergerak di serata arah padang dengan memastikan pengaliran bola sesama rakan sepasukan tidak terputus.
Malah, kelibat pemain tengah ini juga menjadi salah satu faktor kekuatan Terengganu serta Kedah menerusi konsistensi ditampilkan beliau dalam perlawanan dihadapi.
Menentang Sabah, pastinya kualiti permainan Kuching City perlu ditingkatkan lagi selepas pasukan tersebut mempunyai pemain berkualiti di posisi tengah seperti Baddrol Bakhtiar serta Park Tae-su.
Selepas tewas pada aksi lalu ketika menentang Selangor, pastinya skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kini tidak rela terus keciciran mata dengan kebangkitan perlu dilakar dengan kadar segera.
Aksi yang bakal berlangsung di Likas itu pastinya bakal dihadiri ribuan penyokong tuan rumah dan ia memberi cabaran motivasi serta mental buat pemain Kuching City untuk bertahan serta mempamerkan kualiti permainan mereka.
Apapun, ini masa yang tepat untuk Kuching City membuktikan kebangkitan mereka pada pusingan kedua Liga Super selepas beberapa rombakan baharu telah dilaksanakan dengan membabitkan para pemain.