Pihak berkuasa Hong Kong pastinya akan memerhatikan secara dekat perlawanan antara Malaysia dan Hong Kong selepas kejadian beberapa kumpulan penyokongnya yang tidak menghormati lagu kebangsaan China dalam aksi persahabatan menentang Laos, 5 Oktober lalu.
Penyokong Hong Kong dilihat mengejek, memusingkan badan ke belakang dan menunjukkan isyarat lucah ketika lagu kebangsaan China dimainkan. Hong Kong merupakan negara yang berada di bawah pemerintahan pusat di Beijing, China. ‘One country, two systems’.
Beberapa kumpulan penyokong dilihat mengangkat sepanduk dan kain rentang yang tertulis ‘Hong Kong is not China’, ‘Fight For Hong Kong’ dan ‘Boo’. Ini merupakan kali ketiga para penyokong bola sepak Hong Kong mengekspresikan perasaan mereka di stadium.
Menurut Persatuan Bola Sepak Hong Kong (HKFA), tiada langkah keselamatan tambahan akan dilaksanakan dan segalanya akan berjalan seperti biasa, termasuk perlawanan menentang Malaysia. Menurut sumber dalaman HKFA, ia adalah sukar untuk menghentikan perlakuan mereka.
Namun, pihak berkuasa Hong Kong telah mengeluarkan amaran sekiranya perkara yang sama berulang ketika aksi menentang Malaysia, Hong Kong mungkin terpaksa beraksi tanpa kehadiran para penyokong selepas ini.
Sebelum ini, HKFA pernah didenda 10,000 Swiss Franc (RM 43,268) oleh FIFA atas kelakuan ‘kurang wajar’ para penyokongnya serta kegagalan pihak HKFA mengawal tingkah laku para penyokongnya dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Qatar.
Sementara itu, tumpuan Hong Kong juga akan terarah untuk melihat aksi beberapa pemain natrulalisasi yang telah dibawa untuk aksi ketiga kelayakan Piala Asia 2019, malam esok. Antara yang terbaharu adalah 3 pemain berdarah Sepanyol, Jordi Tarres, Dani Cancela dan Fernando Recio.
Jordi Tarres adalah pemain kelahiran Bercelona dan kini sedang beraksi secara pinjaman bersama kelab Le Man FC. Dengan ketiadaan penyerang sensasi Hong Kong, Chan Siu Ki, Tarres dijangka bakal diberikan peluang selepas menyerlah dalam kemunculan pertamanya menentang Laos.
Penyerang berusia 36 tahun ini telah membuka jaringan dalam perlawanan yang dimenangi Hong Kong dengan keputusan 4-0. Untuk rekod, Tarres telah meledakkan lebih 60 gol sepanjang 7 tahun beraksi di Hong Kong dan mungkin atas sebab itu dia telah dibawa masuk ke kem Hong Kong.
Malaysia dan Hong Kong memerlukan kemenangan untuk terus menghidupkan peluang beraksi di Piala Asia 2019. Lubnan sedang mendahului aksi kumpulan dengan tujuh mata, Korea Utara dan Hong Kong dengan dua mata. Malaysia di dasar kumpulan dengan satu mata.