Senarai Pemenang Piala Malaysia Alaf Baru (2012 Hingga 2016)

Piala Malaysia

Bahang perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 semakin dirasakan apabila pertembungan jagoan Selatan dan Utara tanah air itu akan dilangsungkan pada hujung minggu ini (4 November) di Stadium Shah Alam.

Johor Darul Takzim (JDT) telah mengesahkan kejuaraan Liga Super yang ke-4 berturut-turut manakala Kedah berjaya menjuarai saingan Piala FA musim ini.

Pertembungan yang sudah pastinya menarik untuk disaksikan dan bagi terus menghangatkan lagi debaran tersebut, mari kita saksikan pasukan-pasukan yang menjadi juara pada 5 edisi terdahulu bermula tahun 2012 hingga 2015.

2012 (Kelantan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 3-2)

Kredit foto: Google.my

Musim yang gemilang buat Kelantan yang ketika itu dibimbing Bojan Hodak selepas berjaya memenangi kejuaraan ‘treble’ pada musim ini setelah terlebih dahulu mendakap kejuaraan Piala FA dan Liga Super.

Dalam pada itu, Hairuddin Omar yang berjaya memenangi Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada tahun 2009, 2010 dan 2011, sekali lagi beraksi di pentas final dan kali ini membawa cabaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kelantan yang berjaya menewaskan ATM dalam aksi yang berlanjutan hingga ke masa tambahan itu membuka tirai jaringan menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada penghujung babak pertama selepas rembatan yang dilakukannya gagal ditangkap kemas Farizal Harun untuk babak pertama tamat dengan kelebihan satu gol buat Kelantan.

Memasuki babak kedua, ATM tidak menunggu lama untuk kembali mengikat kedudukan apabila berpunca daripada sepakan sudut, Rezal Zambery Yahya meledakkan satu rembatan dari luar kotak penalti yang terkena pertahanan Kelantan pada minit ke-48.

Norshahrul sekali lagi bertindak cemerlang untuk kembali menjarakkan kedudukan menerusi satu lagi rembatan yang menewaskan Farizal hanya seminit selepas jaringan daripada Rezal dihasilkan.

Penyerang import berbisa, Marlon Alex James menyamakan kedudukan pada minit ke-61 untuk perlawanan terikat 2-2 sehingga tamat 90 minit perlawanan.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira buat Kelantan apabila rembatan cantiknya pada minit ke-5 masa tambahan untuk memberikan kejuaraan Piala Malaysia kedua buat Kelantan dalam tempoh tiga tahun.

2013 (Pahang menewaskan Kelantan 1-0)

Piala Malaysia
Kredit foto: Google.my

Pahang turun ke Stadium Shah Alam dengan misi untuk menamatkan penantian 21 tahun bagi kembali menggenggam piala berprestij itu.

Lawan yang ditentang pada perlawanan yang berlangsung dihadapan puluhan ribu penyokong itu bukanlah lawan yang mudah apabila bertemu juara musim lalu, Kelantan.

Jaringan tunggal perlawanan menerusi tandukan menarik dari Mathias Conti hasil hantaran lintang Azamuddin Akil sudah cukup buat anak buah Dollah Salleh itu untuk meraikan kejayaan gemilang menamatkan kemarau 21 tahun tersebut.

Penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid turut bertindak cemerlang apabila berjaya menggagalkan beberapa percubaan menarik yang dicipta barisan serangan Kelantan yang diketuai Dickson Nwakame.

2014 (Pahang menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti 5-3)

Kredit foto: Google.my

Pahang berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi apabila menundukkan cabaran pasukan himpunan bintang, JDT pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dickson Nwakame yang berhijrah ke Pahang pada musim ini membuka tirai jaringan pada minit ke-14. Jorge Pereyra Diaz bagaimanapun mengikat kedudukan di minit ke-30 perlawanan.

JDT memperolehi jaringan kedua selang 3 minit selepas jaringan dari Diaz, apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti dan Luciano Figueroa mudah untuk memperdayakan Khairul Azhan Khalid.

Perlawanan turut dicemari dengan layangan kad merah apabila Saiful Nizam Miswan diperintahkan keluar padang pada minit ke-66 akibat kekasaran yang dilakukan terhadap Amri Yahyah.

Nwakame tidak memberikan peluang buat JDT untuk meraih kejuaraan apabila beliau yang tidak dikawal menerima hantaran dari Damion Stewart untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

Jaringan tersebut kekal dan perlawanan berlanjutan hingga ke masa tambahan. Tiada jaringan dapat dihasilkan dan juara akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

Norshahrul Idlan Talah gagal menyempurnakan sepakan penalti ke-4 buat JDT dan Mohd Hafiz Kamal dengan tenang menewaskan Muhammad Al-Hafiz Hamzah di gawang JDT untuk memberikan Pahang kejuaraan Piala Malaysia buat dua tahun berturut-turut.

2015 (Selangor menewaskan Kedah 2-0)

Kredit foto: Kamarul Akhir (Asiana.my)

Selangor memburu kejuaraan ke-33 Piala Malaysia selepas kali terakhir beraksi dalam perlawanan akhir pada tahun 2008. Ketika itu Selangor tewas ditangan Kedah dan kali ini lawan yang sama ditemui untuk merealisasikan impian tersebut.

Ahmad Hazwan Bakri menjadi wira buat pasukan Selangor apabila dua jaringan yang dihasilkan pemain kelahiran Labuan ini telah menghadiahkan kejuaraan ke-33 buat Selangor yang ketika itu dibimbing oleh Mehmet Durakovic.

Jaringan pertama Hazwan menjelma seawal minit ke-4 permainan selepas menerima hantaran cantik dari Guilherme De Paula. Beliau yang terus melakukan larian pantas, membuat kuisan untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Firdaus Muhamad.

Dua minit selepas aksi babak kedua bersambung, Hazwan sekali lagi merobek gawang Kedah. Gol tersebut juga berpunca daripada hantaran yang dilakukan oleh De Paula. Hazwan yang meluru laju terus melakukan rembatan kaki kiri yang menerjah gawang Kedah.

Kedah terus dirundung malang apabila Mohd Firdaus Muhamad diperintahkan keluar padang pada minit ke-84 untuk perlawanan tamat dengan kegembiraan buat pasukan dan penyokong The Red Giants.

2016 (Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 6-5)

Kredit foto: Sports247.my

 

Kedua-dua pasukan kembali membuat perhitungan dan sudah pasti Kedah bercita-cita besar untuk merampas kejuaraan Piala Malaysia dari Selangor.

Impian tersebut ternyata menjadi kenyataan apabila sepakan penalti dari Mohd Rizal Ghazali berjaya membawa kejayaan buat Kedah selepas sepakan terdahulu yang dilakukan pertahanan Selangor, Rizal Fahmi Rosid hanya singgah di palang gol.

Perlawanan yang berlanjutan hingga ke sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan. Jaringan buat kedua-dua pasukan dihasilkan oleh Rizal Ghazali dan Ahmad Hazwan Bakri.

Sebanyak 8 sepakan telah diambil pada penentuan sepakan penalti oleh kedua-dua pasukan.

6 pemain Kedah yang berjaya menyempurnakan sepakan tersebut adalah Bang Seung Hwan, Farhan Roslan, Liridon Krasniqi, Baddrol Bakhtiar, Halim Shaari dan Rizal Ghazali.

Manakala Ugo Ukah, Patrick Ronaldinho, Mauro Olivi, S.Veenod dan Andik Vermansyah menyempurnakan sepakan untuk Selangor.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN