‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’: Era Baharu Liga Thailand

Bermula pada musim 2017, bola sepak Thailand sedang melalui satu fasa perubahan. Pada penghujung 2016, Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) telah mengumumkan ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’ kepada umum.

Pelbagai pembaharuan akan dibawa oleh pengurusan baharu FAT dan dengan pelancaran ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’ tersebut, bola sepak Thailand akan berwajah baharu dalam beberapa aspek.

Majlis pengenalan dan pembentangan ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’. Foto: FA Thailand.

Sebelum ini, dalam artikel ‘Ke Arah Imej Baharu, Logo Skuad Kebangsaan Thailand Akan Dijenamakan Semula’, Semuanya BOLA telah membawakan usaha FAT untuk memberikan wajah baharu kepada skuad kebangsaan.

Itu adalah salah satu intipati dalam ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’ yang diperkenalkan oleh FAT.

Berikut merupakan antara intipati lain yang terdapat di dalam ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’ dan perubahan paling ketara yang bakal dapat disaksikan oleh semua peminat dan penyokong bermula pada tahun 2017.

Pembaharuan Visual

Perkara pertama dalam ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’ adalah perubahan visual dan identiti liga-liga di Thailand. Semua peringkat liga di Thailand akan menggunakan reka bentuk logo yang sama.

Logo pertandingan telah banyak kali berubah mengikut peredaran masa. Namun, kini dengan pengenalan ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’, FAT dilihat lebih serius dalam pembaharuan liga.

Evolusi Logo Thai League, Foto: Laman Web Underconsideration.com

Logo baharu liga-liga Thailand ini direka seakan-akan logo J-League, memandangkan J-League adalah antara suri teladan dan acuan kepada pengurusan baharu FA Thailand dalam merangka pelan pembaharuan ini.

Logo tersebut telah mendapat wajah baru hasil sentuhan Farmgroup, sebuah syarikat perunding reka bentuk di Bangkok. Menurut FAT, penjenamaan semula adalah selari dengan perubahan landskap bola sepak global.

Logo asas Thai League ketika ini. Yang berbeza adalah warna setiap liga. Foto: Laman web www.underconsideration.com.

Menurut Farmgroup, mereka cuba memaparkan imej gajah, haiwan yang menjadi simbol kekuatan dan kebijaksanaan masyarakat Thailand, dalam bentuk yang ringkas, moden dan meyakinkan.

Pembaharuan Struktur

Struktur liga juga mengalami perubahan. Semua divisyen menggunakan nama yang sama dengan diberikan nombor secara berturutan. Setiap divisyen menggunakan warna yang berbeza pada logo masing-masing.

Liga Thailand kini merangkumi lima divisyen iaitu Thai League 1 (TL 1), Thai League 2 (TL 2), Thai League 3 (TL 3), Thai League 4 (TL 4) dan Amateur Tournament (Kejohanan Amatur).

Lima Divisyen Thai League ketika ini, Foto: Laman Web Underconsideration.com

Selain itu, turut diperkenalkan pada musim ini adalah divisyen 3 (TL 3) yang baharu untuk menggantikan liga wilayah yang ditukar menjadi divisyen 4 (TL 4) yang baharu.

TL 3 ini pula telah dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu utara dan selatan. Juara untuk setiap kumpulan akan dinaikkan pangkat ke TL 2, dan satu slot lagi adalah melalui perlawanan playoff antara naib johan kumpulan.

Untuk TL 4, tiada perubahan ketara dibuat dengan merangkumi 6 zon dengan setiap zon mengandungi antara 9 hingga 12 pasukan. Untuk musim 2017, terdapat 61 pasukan bertanding di dalam TL 4 ini.

Selain itu, buat pertama kali, pasukan simpanan kelab atau ‘Pasukan B’ dibenarkan menyertai pertandingan di peringkat TL 4 ini. Untuk perkara ini, FAT menjadikan konsep Liga Sepanyol sebagai acuan dan suri teladan.

Untuk naik pangkat ke TL 3, satu pusingan playoff akan dijalankan pada penghujung musim untuk mengisi 5 slot pasukan untuk dinaikkan pangkat. Pusingan playoff ini turut dikenali sebagai TL 4 Champions League.

Divisyen terbawah dalam hierarki Liga Thailand, Kejohanan Amatur pula tidak diletakkan sebarang syarat. Semua pasukan amatur di seluruh Thailand boleh masuk bertanding. Tiada promosi serta penyingkiran yang dilaksanakan.

Selain itu, bermula pada musim 2019, TL 1 akan dikurangkan jumlah pasukan daripada 18 kepada 16 pasukan sahaja sebagai satu usaha untuk memberi lebih ruang kepada jadual perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan.

Pemain Import dan Kewangan

Terdapat sedikit perubahan kepada peraturan pemain import untuk musim 2017. Peraturan 3 + 1 (3 pemain import dengan 1 pemain Asia) telah diubah kepada 3 + 1 + 1 (3 pemain import dengan 1 pemain Asia dan 1 pemain ASEAN).

Setakat ini hanya 3 pasukan di TL 2 yang menggunakan peraturan baharu ini iaitu Big Bang Chula United FC dengan Hafiz Abu Sujad (Singapura), Krabi FC dengan Thierry Bin (Kemboja) dan Angthong FC dengan Mike Ott (Filipina).

Antara aksi Hafiz Abu Sujad di BBCU FC. Foto: BBCU FC.

Namun, nasib pemain Singapura, Hafiz Abu Sujad sedikit malang apabila Big Bang Chula United FC telah mengumumkan penarikan diri daripada semua kejohanan pada April lalu, sebelum liga berakhir.

Dan bermula pada musim hadapan, peraturan 3 + 1 + 1 ini juga akan diguna pakai di dalam liga utama Thailand, TL 1, selain TL 2 yang telah digunakan ketika ini.

Setiap pasukan juga akan diberikan bantuan kewangan oleh FAT untuk meningkatkan infrastuktur pasukan masing-masing. Walaubagaimanapun, ia tertakluk kepada permohonan pasukan-pasukan tersebut.

Pasukan tersebut perlu membuat permohonan rasmi dan menunjukkan kepada FAT, bagaimana wang tersebut akan diuruskan apabila diserahkan oleh FAT. Jumlah dihadkan dan disusun kadar mengikut liga.

Pembaharuan Piala Kejohanan

Pembaharuan piala kejohanan bukanlah bermaksud pembaharuan pertandingan atau kejohanan tersebut, ianya lebih kepada pembaharuan trofi yang diberikan kepada para pemenang.

Dengan penjenamaan semula liga pada 1996, trofi asal untuk juara Liga Perdana Thailand ketika itu telah digunakan sebagai Piala Sumbangsih yang menemukan juara liga dan juara Piala FA sehingga kini.

Pada pertengahan Oktober lalu, FAT secara rasminya telah mempamerkan trofi-trofi baharu untuk diserahkan kepada pemenang-pemenang liga (TL 1 hingga TL 4) pada penghujung musim ini.

Trofi Thai League 1 Foto: http://www.thaileague.co.th
Trofi Thai League 2 Foto: http://www.thaileague.co.th
Trofi Thai League 4 Foto: http://www.thaileague.co.th
Trofi Thai League 3 Foto: http://www.thaileague.co.th

Trofi-trofi baharu tersebut telah direka cipta oleh syarikat yang telah mereka bentuk trofi kepada pemenang Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penutup

Pada bulan Mac yang lalu, FAT telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dalam misi untuk menempatkan diri dalam Piala Dunia di masa akan datang.

Daripada MoU inilah FAT telah merangka ‘FA Thailand Road Map 2017 – 2019’ sebagai langkah pertama mereka dalam pembaharuan pelbagai aspek bola sepak di negara mereka.

Presiden FAT, Somyot Poompanmoung dipetik berkata kepada media menyatakan MoU itu merangkumi 4 perkara utama iaitu operasi liga, pasukan kebangsaan, pertukaran kepakaran dan pembangunan pengadil.

“Saya yakin perjanjian dan perkongsian ini boleh membantu FAT dan JFA untuk maju ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja dalam aspek teknikal tetapi juga dalam aspek pentadbiran,” ujar Somyot.

Antara perkara utama yang FAT ingin belajar daripada JFA adalah strategi jangka panjang yang telah membantu bola sepak Jepun membangun dalam tempoh dua dekad ini.

“Selama 20 tahun yang lalu, Jepun telah membuat kemajuan yang luar biasa. Mereka telah banyak bersabar ketika dalam proses tersebut dan kini mereka sedang menuai hasil,” jelas Somyot lagi.

Jepun ketika ini sudah membuat MoU dengan tiga negara ASEAN iaitu Thailand, Vietnam dan Singapura.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN