Joan Laporta pertama kali dilantik sebagai presiden Barcelona pada 15 Jun 2003. Walaupun hanya berusia 40 tahun pada ketika itu, beliau telah memperolehi 52.57% undi. Laporta nyata tidak mengecewakan mereka yang memberi kepercayaan kepada beliau sepanjang tempoh menjalankan mandat.
Selepas 18 tahun, Laporta kini kembali sekali lagi mengepalai Blaugrana. Kali ini cabarannya jauh lebih getir. Namun penyokong setia gergasi Catalan itu tetap menyimpan harapan Laporta mampu sekali lagi membangkitkan mereka daripada kegetiran yang dilalui.
Laporta akan membentangkan perjalanan projek baharunya dalam masa terdekat. Sambil itu ada baiknya kita mengimbas kembali senarai pemain yang pernah dibawa masuk oleh Laporta sebelum ini. Secara keseluruhan, Barcelona membelanjakan €400 juta dalam tempoh tujuh musim dengan beberapa kejayaan. Sebagai perbandingan Barcelona era Josep Maria Bartomeu membelanjakan sekitar €300 juta untuk hanya tiga pemain seperti Phillipe Coutinho, Antoine Griezemann dan Ousmane Dembele.
Musim 2003/04
Pemain berprofil tinggi pertama yang dibawa masuk pada musim ini ialah Ronaldinho selepas Real Madrid memenangi perlumbaan untuk mendapatkan David Beckham.
Laporta meluluskan sejumlah €32.3 juta untuk mendapatkan bintang Brazil itu dari Paris Saint-Germain. Ia dianggap perpindahan yang mengubah sejarah kelab.
Beberapa pemain lain yang kurang ternama turut dibawa masuk seperti Rafa Marquez (€5.3 juta), Ricardo Quaresma (€6.4 juta), Giovanni van Bronckhorst (percuma), Rustu Recber (percuma) and Mario (percuma).
Musim 2004/05
Antara pembelian terbaik yang pernah dijelmakan oleh Laporta ialah apabila berjaya memancing Samuel Eto’o dari Real Mallorca pada nilai €27 juta. Ketibaan Eto’o di Nou Camp berlaku apabila Florentino Perez melakukan kesilapan/blunder gagal mengaktifkan pilihan pembelian semula penyerang Cameroon itu.
Laporta turut membawa masuk beberapa pemain lain seperti Deco (€21 juta), Edmilson (€8 juta), Ludovic Giuly (€7 juta), Maxi Lopez (€6.5 juta) and Sylvinho (€1.5 juta). Albertini dan Henrik Larsson pula didatangkan secara percuma.
Dibantu dengan kelompok pemain yang dibawa pada musim sebelumnya, Barcelona akhirnya meraih kejuaraan La Liga mereka dalam tempoh lima tahun, Selain kejuaraan La Liga, Barcelona turut muncul pemenang Supercopa de Espana.
Musim 2005/06
Selepas dua musim berbelanja besar, musim 2005/06 merupakan musim di mana Barcelona berjimat untuk menyeimbangkan kembali simpanan fiskal di Nou Camp.
Hanya dua pemain didatangkan pada musim tersebut iaitu Mark van Bommel dari PSV Eindhoven didatangkan menggunakan peraturan Bosman, dan Santiago Ezquerro yang tidak memerlukan yuran perpindahan diumumkan sebagai pemain baharu.
Musim 2005/06 menyaksikan Barcelona turut mengulang kejayaan mereka menjulang kejuaraan La Liga dan Supercopa de Espana. Lebih menarik, Barcelona turut berjaya menjulang kejuaraan UEFA Champions League buat kali pertama sejak kali terakhir memenangi pertandingan elit eropah itu pada musim 1991/92.
Musim 2006/07
Hanya tiga pemain didatangkan ke dalam skuad sudah cukup kuat dan segar dari kejuaraan Champions League ini. Gianluca Zambrotta didatangkan pada nilai €14 juta, Eidur Gudjohnsen dibawa masuk dari Chelsea pada nilai €12 juta, dan pemain veteran Lillian Thuram tiba dengan nilai €5 juta.
Barcelona terlepas kejuaraan La Liga kepada Real Madrid pada musim tersebut dan mengakhiri musim tanpa sebarang kejuaraan. Musim tersebut dilihat sebagai permulaan kemerosotan Barcelona era Frank Rijkaard.
Musim 2007/08
Selepas musim tanpa kejuaraan, Laporta kali ini berbelanja besar untuk memperbaharui pasukannya. Pemain terpenting yang dibawa masuk adalah Thierry dengan nilai €24 juta dari Arsenal.
Sebagai tambahan Laporta turut memancing beberapa pemain lain seperti Gabriel Milito (€20 juta), Eric Abidal (€15 juta), Yaya Toure (€9 juta) dan Jose Manuel Pinto pada nilai €500,000.
Di sebalik pembelian tersebut, Barcelona terus gersang kejuaraan dan Frank Rijkaard ditunjukkan pintu keluar.
Musim 2008/09
Pep Guardiola sebenarnya bukanlah pengurus pilihan pertama oleh Laporta untuk menggantikan Rijkaard. Namun kerana gagal meyakinkan Michael Laudrup untuk kerusi panas di Nou Camp, Laporta tiada pilihan lain melainkan menyandarkan harapan kepada Pep Guardiola. Ia nyata keputusan yang tepat oleh presiden Barcelona itu.
Untuk membantu Guardiola membentuk pasukan yang mampu bersaing, Laporta memancing beberapa pemain seperti Dani Alves dari Sevilla pada nilai €41.5 juta. Bekas pemain akademi Gerard Pique turut kembali ke Nou Camp. Pemain lain yang turut menyertai Barcelona pada musim itu ialah Seydou Keita pada nilai €14 juta, Alexander Hleb (€17 juta), Martin Caceres (€16.5 juta) dan Henrique (€8 juta).
Ia adalah musim bersejarah buat Barcelona yang meraih kejuaraan treble – La Liga, UEFA Champions League dan Copa del Rey.
Musim 2009/10
Pada musim terakhir sebagai presiden, Laporta membawa masuk Zlatan Ibrahimovic untuk memperkuatkan jentera serangan Barcelona dengan nilai €70 juta. Dua pemain yang dianggap gagal di Barcelona Dmytro Chygrynskiy (€25 juta), dan pemain muda dari Palmeiras, Keirrison (€14 juta) tidak pernah tampil untuk skuad utama.
Maxwell melengkapkan senarai pemain dibawa masuk dengan nilai €4.5 juta. Dan sebelum meninggalkan jawatannya pada 30 Jun 2010, Laporta turut berjaya memancing David Villa dengan nilai €40 juta sebagai hadiah kepada presiden seterusnya Sadro Rosell.
Barcelona berjaya mengekalkan kejuaraan La Liga, selain memenangi Supercopa de Espana dan Piala Kelab Dunia FIFA.
Penutup
Cabaran kali ini pasti tampil berbeza buat Laporta. Ini kerana pasaran pemain pada hari ini sudah tidak lagi seperti dahulu, dan fokus pula ialah untuk menstabilkan kedudukan kewangan kelab yang merekodkan hutang melebihi €1 billion.
Mampukah Laporta mengembalikan era kegemilangan Barcelona seperti dahulu? Nyatakan pandangan anda melalui ruangan dan platform yang kami sediakan.
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai Barcelona melalui pautan:
5 Perkara Joan Laporta Perlu Lakukan Untuk Perkasakan Kembali Barcelona FC
5 Perubahan Berani Perlu Dilakukan Barcelona Jika Mahu Kembali Bangkit Musim Hadapan
Ini Sebab Mengapa 2020 Dianggap Tahun Malapetaka Buat Barcelona