Senarai Musuh Ronald Koeman Di Dalam Bola Sepak

Bola sepak sering dikatakan sebagai medium mengeratkan hubungan sesama manusia. Namun persaingan yang kompetitif adakalanya turut mewujudkan perseteruan dan permusuhan.

Di dalam konteks bola sepak, perseteruan dan permusuhan tidak semestinya hadir di antara pasukan. Ia juga berlaku secara individu. Perseteruan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger pada era kegemilangan Manchester United dan Arsenal adalah salah satu contoh permusuhan di dalam bola sepak.

Ini pula kisah Ronald Koeman, pengurus Barcelona pada hari ini dan musuh-musuh yang pernah dicipta oleh jurulatih dari Belanda itu sepanjang karier selaku jurulatih dan pengurus pasukan.

Koeman vs Garcia

Rudi Garcia adalah nama terbaru di dalam senarai musuh Ronald Koeman di dalam bola sepak. Baru-baru ini pengendali Barcelona itu tampil dengan respon yang disulami kemarahan terhadap pengendali Lyon itu.

Isunya adalah kerana Koeman bertindak mengkritik Paris Saint-Germain kerana sentiasa bercakap mengenai masa depan Lionel Messi.

Tetapi pada musim panas lalu, bekas pengurus Belanda itu tidak berhenti bercakap mengenai pemain Lyon, Memphis Depay yang dikaitkan akan ke Nou Camp.

Koeman vs Joaquin

Hubungan pengurus dan pemain ini menjadi keruh ketika kedua-duanya bersama di Valencia.

Selepas meninggalkan Valencia, Koeman secara terbuka mengkritik pemain sayap itu.

“Dia adalah pemain yang bernilai 25 juta euro tetapi nilai sebenarnya langsung tidak mencecah nilai 25 juta euro,” kata Koeman.

Joaquin tidak berdiam diri dan menuduh Koeman lebih fokus dengan pengambilan alkohol berbanding untuk melatih pasukan Valencia.

Koeman vs Canizares

Selepas dipecat Everton disebabkan keputusan yang mengecewakan di Liga Perdana Inggeris, Koeman menjadi sasaran analisis yang amat kritikal dari Santiago Canizares.

Sepertimana  Joaquin, Canizares juga mempunyai masalah peribadi dengan Koeman ketika kedua-duanya bersama di Valencia.

“Everton telah membelanjakan banya wang untuk ramai pemain bernama besar, tetapi sekali lagi Koeman gagal membina projek baharu,” dakwa Canizares.

“Semoga satu hari nanti beliau belajar bagaimana untuk melakukannya. Beliau sepatutnya tiba untuk membaiki komputer yang rosak, tetapi akhirnya pergi dengan komputer mengalami kerosakan lebih teruk.”

Koeman vs Albelda

Koeman sememangnya banyak mencipta musuh sepanjang tempoh di Valencia. Selain Canizarez dan Joaquin, Koeman turut mencipta perseteruan dengan David Albelda – seorang lagi pemain senior di dalam kelab.

“Saya berharap satu hari nanti beliau melatih Barcelona, dan tahap di La Liga pada ketika itu sudah meningkat,” tulis Albelda di Twitter mengenai Koeman beberapa tahun yang lalu.

Albelda melakukan ciapan sedemikian kerana yakin Koeman akan gagal walaupun bersama Barcelona. Sekurang-kurangnya impian Albelda telah menjadi nyata apabila Koeman dilantik selaku pengurus Blaugrana.

Sukar untuk menilai prestasi Koeman secara keseluruhan bersama Barcelona setakat ini. Namun ia tidak mudah setakat ini.

Koeman vs Van Gaal

Koeman pernah menjadi pemain di bawah kendalian Louis van Gaal di Barcelona, tetapi hubungan kedua-duanya berubah menjadi masam di Ajax beberapa tahun kemudiannya.

“Saya mempunyai masalah bersama Louis [van Gaal] di Ajax,” akui Koeman.

“Saya adalah jurulatih, manakala beliau kembali selaku Pengarah Sukan. Kami berperang besar mengenai cara bermain dan mengenai masa depan kelab,” kata Koeman.

“Secara jujurnya, tidak ada banyak kenangan manis ketika bersama. Kami bukan sahabat baik.”

Penutup

Kini kembali bersama Barcelona selaku pengurus, mampukah Koeman mengelak dari mencari musuh tidak diperlukan untuk memacu pasukan mengejar kejayaan?

Anda mengenali pengurus dan jurulatih lain yang memiliki ramai musuh seperti Koeman?

 

Leave a Reply