Manchester United kini berada di kedudukan kedua, ketinggalan 14 mata berbanding pendahulu Manchester City untuk perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Secara kasar, peluang United untuk bergelar juara pada musim ini adalah sukar. Namun kedudukan dan peningkatan prestasi The Red Devils di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjaer tidak boleh dinafikan.
Musim panas akan datang akan menjadi tempoh penting buat Manchester United dalam usaha membina pasukan yang mampu mencabar kejuaraan pada musim akan datang. Ini bermakna beberapa muka baharu akan dibawa masuk, dan beberapa pemain lama akan ditunjukkan pintu keluar dari Old Trafford.
Berikut adalah lima pemain yang berkemungkinan besar akan dibenarkan meninggalkan Manchester United pada musim panas akan datang sebagai sebahagian daripada usaha membina skuad United yang lebih kuat selepas ini.
Diogo Dalot
Diogo Dalot dibawa masuk dari Porto pada musim panas 2018 pada nilai £17.4 juta. Dalot dilihat sebagai pemain yang mampu memberi ancaman buat United di fasa serangan, namun menimbulkan banyak persoalan mengenai kemampuan beliau ketika bertahan seperti yang pernah berlaku dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Dalot kini telah dipinjamkan ke AC Milan dan turut menyerlah dalam beberapa perlawanan walaupun tetapi pemain ini masih tidak mampu lari dari kritikan dalam beberapa perlawanan lain.
Keadaan kini semakin sukar untuk Dalot kembali ke Old Trafford mengambil kira posisi bek sayap kanan yang begitu dominan diisi oleh Aaron Wan-Bissaka.
Adanya pemain muda seperti Brandon Williams yang mampu beraksi sebagai bek sayap kanan dan kiri turut tidak membantu Dalot. Keadaan ini menyebabkan Dalot menjadi pemain yang hampir pasti akan ditunjukkan pintu keluar pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Andreas Pereira
Pemain tengah Brazil kelahiran Belgium ini semakin jelas tidak mempunyai potensi yang cukup untuk teris bergelar pemain Manchester United. Adakalanya beliau menampilkan aksi terpuji, namun tatkala usia beliau sudah mencecah 25 tahun, ia adalah satu risiko untuk United terus berharap kepada Pereira.
Ketibaan Bruno Fernandes pada Januari 2020 telah menjadi penanda aras baharu untuk posisi tengah United. Ini bermakna Pereira perlu menampilkan peningkatan drastik dalam tempoh masa terdekat bersama Lazio jika ingin terus kekal di Ol Trafford.
Setakat ini Pereira telah tampil sebanyak 23 kali untuk Lazio dalam semua pertandingan, dan hanya menghasilkan 1 gol dan dua assist. Kedukan tersebut cukup untuk membuatkan kedudukan beliau bersama kelab Serie A itu goyah. Apatah lagi untuk meyakinkan Solksjaer mengekalkan beliau untuk musim akan datang.
Jesse Lingard
Situasi Jesse Lingard tidak jauh bezanya dengan Andreas Pereira. Lingard mulai hilang tempat selepas ketibaan Brun0 Fernandes. Tahun 2020 sememangnya tahun yang sukar buat Lingard selepas bukan lagi menjadi pilihan untuk berada di dalam skuad Manchester United dalam setiap perlawanan kendalian Solksjaer.
Pada separuh pertama musim ini, Lingard tidak diturunkan langsung walau dalam satu perlawanan sekali pun, sebelum dipinjamkan ke West Ham pada Januari lalu. Di West Ham, Lingard kembali menyinar apabila berjaya menjaringkan empat gol dan satu assist dari enam penampilan setakat ini.
Ini bermakna nilai Lingard kembali meningkat dan Manchester United pasti beharap terdapat tawaran yang munasabah tiba untuk pemain tersebut pada musim panas ini. Mengambil kira kualiti yang ada di bahagian tengah United pada hari ini, Lingard berkemungkinan besar akan dijual
Paul Pogba
Paul Pogba mungkin merupakan pemain berstatus bintang di dalam senarai ini, namu ia tidak bererti Solksjaer akan memberi muka dan terus meletakkan pemain ini ke dalam kesebelasan utama selepas beliau pulih dari kecederaan. Apatah lagi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Pogba dan ejennya Mino Raiola sering mencetuskan kontroversi berkaitan perpindahan dari Old Trafford.
Ini bermakna Pogba perlu membuktikan dirinya layak untuk diberikan minit perlawanan sebelum diturunkan. Kepentingan Pogba di dalam sistem Solksjaer sememangnya tidak boleh dinafikan. Namun minat daripada kelab-kelab gergasi eropah lain seperti Real Madrid, Juventus, dan Paris Saint-Germain membuatkan pemain ini sering lupa diri.
Kontrak Pogba di Old Trafford hanya berbaki setahun lagi. Ini bermakna Manchester United dan Pogba mempunyai dua pilihan pada musim panas ini. Duduk berbincang dan bersetuju dengan kontrak baharu, atau berpisah sahaja mencari haluan masing-masing.
David de Gea
David de Gea merupakan penjaga gol pilihan pertama Manchester United untuk tempoh sedekad yang lalu. Ketika berada di prestasi terbaiknya, tiada siapa mampu mempersoalkan kemampuan dan kewibawaan penjaga gol ini di hadapan gol. Namun sejak beberapa musim terakhir ini, prestasi De Gea mulai merosot dan mengakibatkan Manchester United kehilangan mata penting dalam beberapa perlawanan.
Masalah De Gea sekarang ialah kegagalan beliau bersaing untuk meneutralkan ancaman bola tinggi di dalam kawasan kotak penalti. Beberapa gol mudah sejak beberapa musim lalu turut tidak membantu. Manchester United tidak mempunyai masalah untuk mencari pengganti kerana adanya Dean Henderson.
Henderson setakat ini tampil dengan cemerlang setiap kali diberikan peluang beraksi untuk The Red Devils. Malah penjaga gol tersebut mempunyai kualiti yang terlampau baik untuk sekadar berada di bangku pemain simpanan. Jika keadaan ini berterusan, United berkemungkinan akan hilang Henderson kepada kelab besar lain selepas secara jelas menyatakan niat beliau untuk jersi No.1 United.
Dari segi ekonomi, menjual David de Gea akan memberikan penjimatan besar kepada Manchester United kerana penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu adalah penerima gaji terbesar di Old Trafford pada hari ini. Pada usia 30 tahun, ia juga mungkin masa paling sesuai untuk De Gea berhijrah untuk mencari cabaran lain, dan pada masa yang sama Manchester United terus fokus untuk membina masa depan bersama Henderson.
Penutup
Hasil penjualan pemain-pemain di atas sudah tentu akan digunakan oleh Ole Gunnar Solksjaer untuk memperkasakan lagi beberapa posisi yang dianggap penting pada masa akan datang.
Apakah pendapat anda? Wajarkah lima pemain ini dijual oleh Manchester United dalam usaha terus membina pasukan yang mampu mencabar kejuaraan pada musim akan datang?
Nyatakan pandangan anda melalui platform yang kami sediakan.
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel menarik lain mengenai Manchester United melalui pautan di bawah:
Kisah Satu-Satunya Jaringan Hatrik Ronaldo Pernah Hasilkan Untuk Man Utd
Analisis: Mendalami Taktikal Solksjaer ‘Ciplak’ Idea Mourinho Untuk Rebahkan Man City
Siapa & Mengapa John Murtough Perolehi Kepercayaan Man Utd Jadi Pengarah Bola Sepak?