Semua aksi sukan di Itali, termasuk Serie A ditunda sekurang-kurangnya sehingga 3 April lantaran penularan wabak COVID-19, umum Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte semalam.
Penundaan ini bagaimanapun tidak tertakluk kepada pasukan yang terlibat dalam kejohanan benua seperti UEFA Champions League dan UEFA Europa League serta pasukan kebangsaan yang beraksi di luar negara.
Serie A sebelum ini mengumumkan akan memainkan semua perlawanan di stadium kosong sehingga 3 April sebagai langkah waspada terhadap wabak COVID-19.
Conte turut memanjangkan perintah kuarantin ini kepada semua acara keramaian di seluruh Itali.
Sebelum ini, Jemaah Olimpik Itali (CONI) mencadangkan penundaan semua acara sukan di semua peringkat selepas mengadakan satu mesyuarat bersama persatuan-persatuan sukan pada Isnin lepas.
Itali adalah negara Eropah yang paling teruk terjejas dengan wabak COVID-19 setakat ini, dengan 7,000 kes dan lebih 450 kes kematian.
Pengumuman CONI untuk datang selepas perlawanan Sassuolo menentang Brescia dimulakan di Serie A. Perlawanan diteruskan sampai habis dan menyaksikan Sassuolo menang 3-0.
Media juga difahamkan semalam bahawa aksi Europa League antara AS Roma menentang Sevilla pada Khamis (awal pagi Jumaat waktu Malaysia) akan dimainkan di stadium kosong.
Sebelum ini menteri sukan Itali Vincenzo Spadafora menuduh Serie A ‘tidak bertanggungjawab’ kerana tidak mengendahkan seruannya untuk menunda liga kerana penularan wabak COVID-19.
Beliau berkata, “Tak masuk akal liga boleh berjalan bila 16 juta rakyat dikuarantin di utara Itali untuk membendung penularan wabak.” Serie A mempertahankan langkah mereka dengan mengadakan perlawanan di stadium kosong.
Perlawanan antara Parma menentang SPAL pada Ahad lepas dilewatkan sepak mulanya selama 75 minit selepas pegawai perlawanan menunggu keputusan Serie A (untuk meneruskan atau tidak) yang ditegur oleh Spadafora.
Lain pula ceritanya di Perancis. Menteri sukan Perancis mencadangkan perlawanan Ligue 1 boleh diteruskan di stadium kosong atau di depan tak lebih 1,000 penyokong untuk membendung penularan wabak penyakit yang berasal dari Wuhan, China tersebut.
Paris St-Germain mengumumkan perlawanan menentang Borussia Dortmund dalam aksi pusingan 16 terakhir akan dimainkan di stadium kosong kerana COVID-19.