Selangor tampil dengan sudut berbeza pada pelancaran jersi ‘away’ terbaharu mereka dengan melaungkan kempen #TerusBerjuang untuk menyatakan sokongan terhadap para pesakit kanser di dunia.
Dengan mengambil inspirasi pemain mereka, Brendan Gan yang sebelum itu menjadi salah seorang pesakit kanser, kelab tersebut mengambil inspirasi semangat juang pemain ini yang melawan sakit beliau hingga kembali sembuh untuk beraksi pada musim baharu ini.
Tampil dengan simbol reben di jersi, ia merupakan lambang solidariti dalam perjuangan mengatasi kanser dan sebarang cabaran hidup.
Manakala warna Hijau Teal yang dipadankan sebagai warna utama jersi, ia bermaksud harapan dan permulaan yang baharu. Warna Fuchsia pula bermaksud keyakinan, keberanian, dan kebersamaan. Akhir sekali warna Ivory yang memberi gambaran kesucian, ketenangan, dalam perjuangan para pesakit kanser.
Lambang garisan yang terletak halus di jersi tersebut pula merupakan maksud inspirasi untuk terus positif dan tidak berputus asa dalam perjuangan untuk kembali bangkit meneruskan kehidupan seperti yang dinyatakan di Facebook rasmi Selangor sebentar tadi.
Majlis pelancaran tersebut berlangsung di Sunway Convention Centre sebentar tadi juga bersempena dengan kempen Hari Kesedaran Kanser Sedunia yang berkolaborasi bersama Selangor dengan diberi nama Neon Hope anjuran penaja, TDC Holding Sdn Bhd.
Dalam majlis tersebut turut dihadiri Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan pemilik utama Selangor untuk menyatakan sokongan kempen tersebut.
Selangor kini dilihat berjalan lancar dari segi persiapan pra musim dengan berjaya mendapatkan tajaan-tajaan besar selain sudah selesai menandatangani para pemain import baharu untuk persaingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula tidak lama lagi.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Dengan kehadiran kembali pemain tengah mereka Brendan Gan yang dilihat sudah sembuh, Selangor bakal kembali menjadi salah satu pasukan yang mencabar untuk memberi tentangan sengit buat lawan.