‘Sembang Mahukan Kualiti…’ – Selagi Ada Permintaan, Jersi Cetak Rompak & ‘Live’ Haram Akan Subur Di Liga M

Jersi cetak rompak live haram Liga Malaysia permintaan

Pernah dengar, ‘di mana ada permintaan, di situ ada penawaran’, dan ia berkait rapat dengan isu cetak rompak dan ‘live’ haram di Liga Malaysia.

Permintaan dan penawaran ini adalah satu konsep atau teori dalam sistem pasaran ekonomi di mana ia saling berinteraksi antara satu sama lain.

Sebelum ini, Semuanya BOLA pernah mengeluarkan satu artikel tentang mempromosikan laman web perjudian menerusi siaran langsung haram. Ia mengundang rasa kurang selesa dan marah netizen disebabkan majoritinya menonton perlawanan bola sepak secara langsung di laman web tersebut.

Siaran langsung penstriman haram adakah merupakan kesalahan dari segi undang-undang negara berdasarkan akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).

Antara kenyataan mempertahankan diri mereka tentunya, di mana lagi mereka boleh menonton aksi bola sepak secara percuma sebegitu?

Apabila ada permintaan sebeginilah, laman web judi ‘masuk jarum’, dengan menyediakan khidmat penstriman haram yang diselitkan iklan perjudian.

Untuk isu jersi cetak rompak, ia sudah berakar umbi sejak sekian lama di Liga Malaysia. Ini bukan satu kisah baru yang mewarnai kancah liga kita.

Malah, Johor Darul Ta’zim (JDT) antara pasukan yang tangkas mendepani isu ini iaitu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor untuk membanteras jersi-jersi cetak rompak di dalam pasaran sejak musim 2017 yang lalu.

Bagaimana pula tindakan pasukan-pasukan lain di Liga Malaysia?

Apabila ada yang mengaitkan isu cetak rompak dengan orang dalam, ia seperti satu tuduhan yang maha berat tetapi apa langkah yang diambil?

Menurut seorang pengguna Twitter yang merupakan pengikut Liga Malaysia, Piang Shankly, beliau menyamakan bola sepak dan politik.

Ciapnya, “Jersi ‘fake/copy’ boleh dibiar dijual di luar stadium yang dipanggil “rumah”. Masuk akal ke tak? Jersi ‘fake/copy’ dah ada kat market 1-2 hari lepas ‘launch’. Masuk akal ke tak? Bolasepak ni, sama macam politik. Banyak ‘deal’ belakang yang kita tak tahu. Yang pasti ada yang buat duit diam-diam.

Astro Arena = berbayar = tiada siaran percuma

Saat diumumkan yang Astro Arena bakal menjadi penyiar rasmi kempen Liga Super musim 2023, sudah terdengar keluhan para penyokong.

Apa yang dikeluhkan adalah tiada lagi siaran langsung percuma seperti mana ketika ia dibawakan oleh UnifiTV di YouTube beberapa musim.

Namun, Astro Arena merupakan pilihan terbaik disebabkan mutu dibawakan mereka untuk kancah Liga Malaysia selama ini. Ini adalah antara kekuatan yang saban tahun ditampilkan oleh mereka dalam membawakan berita.

Malah, kita juga sering mengikuti wartawan mereka untuk sebarang maklumat dan khabar berita tentang pasukan-pasukan Liga Malaysia.

Selain itu, dikhabarkan untuk musim ini, akan ada lebih lagi program dan mungkin ‘insight’ yang bakal dihidangkan kepada para penyokong.

Kekurangan yang terserlah adalah ia bukanlah percuma. Adakah rakyat Malaysia sudah terbiasa dan hanya mahukan sesuatu yang percuma?

Kita mungkin sudah dibiasakan dengan bantuan amal, barang percuma dan segalanya. Namun, harus diingat, disebalik siaran langsung yang dibawakan kepada kita, ada pekerja-pekerja yang mencari makan dan bermandi peluh.

Jika tidak mahu melanggan sekalipun, penyokong boleh hadir ke stadium sebagai tanda sokongan dan apa yang kita bayar adalah untuk pasukan.

Ia adalah sumber pendapatan pasukan untuk aksi sepanjang musim.

Pengulas Astro Arena, Botak membuat ciapan, “Kita selalu nak tengok bola sepak tinggi kualiti, gambar HD, mantap ‘commentary’, ‘intensity’ tinggi dan mahu pemain sentiasa terima gaji tapi kita sendiri nak semua benda ‘free’.

Namun, harus diakui, rakyat Malaysia sentiasa mahukan benda percuma.

Malah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengakui yang orang Malaysia suka mengharapkan duit percuma.

Jadi, mungkin pilihan kedua yang diberikan iaitu siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah yang terbaik buat anda semua.

Janganlah pula dikecam kualiti yang dibawa oleh RTM. Itu kan percuma!

Isu jersi cetak rompak yang tiada titik noktahnya

Ketika JDT dan KPDNKK Negeri Johor menguatkuasakan mengenai jersi tiruan yang berada di pasaran, ia sedikit sebanyak membantu pasukan.

Sekitar tahun 2017, dalam operasi rampasan yang dilakukan oleh pihak KPDNKK pada 3hb Februari, sebanyak 1,187 helai jersi JDT serta 735 jersi pelbagai jenis dirampas dengan nilai anggaran sebanyak RM31,830.00.

Namun, adakah JDT mempertimbangkan penyokong yang tidak mampu memiliki jersi JDT yang sebenar? Ini delima yang dilalui setiap pasukan.

JDT bekerjasama dengan jenama terkenal dunia, Nike untuk menghasilkan jersi pasukan, namun harganya diluar kemampuan majoriti penyokong.

Hasil semakan di laman web Nike, untuk harga sehelai jersi Harimau Selatan, penyokong perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM299.00.

Untuk edisi 2021, TMJ menanggung sebahagian harga jersi ‘away’ sebagai hadiah istimewa kepada penyokong bersempena ulang tahun pertama Stadium Sultan Ibrahim. Dan sambutan luar biasa diterima, sebanyak 8,600 jersi habis terjual sebaik sahaja dibuka untuk jualan pada hari pelancaran.

Tetapi, seperti biasa akan ada permintaan pembeli untuk harga lebih murah.

Itu dari perspektif JDT. Jersi pasukan lain di Liga Malaysia, tidaklah semahal JDT. Bahkan ada yang boleh didapati pada harga di bawah RM100.00.

Ini turut diciap oleh pencipta kandungan digital Semuanya BOLA, Afiq Shari.

https://twitter.com/AfiqShari/status/1622429880653877248

Jadi, apa lagi yang penyokong mahukan? Adakah jersi percuma? Sebab ada juga pasukan yang menjual pada kadar yang berpatutan, tetapi hambar.

Di sini, adakah mungkin sikap penyokong di Malaysia yang sebenarnya bermasalah? Cuba kita tinjau situasi di liga jiran kita, Thai League.

Buriram United berjaya menjual lebih 51,000 helai jersi musim 2021/22 dan menjana jualan jersi sekitar THB35.6 juta atau RM4.56 juta, menurut Ball Thai. Sehelai jersi musim tersebut dijual pada harga THB690 atau RM88.00.

Tidak dinafikan ada juga dijual versi cetak rompak disebabkan permintaan yang tinggi, namun mungkin ia berjaya dikawal dengan baik oleh pasukan?

Bagaimana untuk membolehkan pasukan di Liga Malaysia menjana pendapatan sebegitu? Permintaan jersi cetak rompak tetap ada.

Penutup

Adakah perlu mengikut formula Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dengan ‘memulaukan’ penjual jersi versi cetak rompak? Mustahil untuk dibuat.

Berdasarkan formula itu, mungkinkah kita dapat membanteras isu lapuk ini?

Ia seperti formula yang dipopularkan oleh Alfred Marshall, seorang ahli ekonomi terulang di zamannya tentang teori permintaan dan penawaran.

Oleh itu, jika tiada permintaan, maka tiada penawaran lagi akan didapati.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN