Selangor FC telah bermasalah di posisi bek kiri sejak beberapa musim mulai dikendalikan B Satiananthan dan akhirnya, mungkin mereka telah temui penyelesaian kepada masalah tersebut dengan kehadiran Fazly Mazlan.
Mungkin kali terakhir The Red Giants memiliki pilihan bek kiri yang bagus adalah pada musim 2016 apabila mereka memiliki Azmi Muslim dan Raimi Mohd Nor di posisi itu. Dan bermula pada musim 2017, pengendali baharu, P. Maniam seperti yang diketahui lebih cenderung menggunakan formasi dengan tiga bek tengah.
Namun, mereka masih memiliki Raimi Mohd Nor sebelum pada musim berikutnya beliau telah memilih untuk berhijrah ke Pulau Pinang (kini Penang FC). Pilihan selepas itu adalah bek kiri muda, K. Kannan yang dinaikkan pangkat pada musim sebelumnya. Ketika itu ia dilihat tiada masalah disebabkan sistem formasi P. Maniam.
Dalam fasa bertahan, Selangor akan memiliki lima pemain di benteng dengan tiga bek tengah akan disertai dua bek sayap. Ini berlangsung untuk semusim lebih sehingga P. Maniam meninggalkan pasukan pada Mac 2018.
Nazliazmi Mohamad Nasir yang mengambil alih skuad sehingga ke hujung musim 2018 melalui masalah untuk mengubah sistem permainan Selangor yang sudah berpaksikan dengan formasi 3-4-3 yang gagal direalisasikan sepenuhnya untuk P. Maniam sehingga menyaksikan beliau terpaksa ‘direhatkan’ oleh pengurusan pasukan.
B. Satiananthan tiba pada musim 2019 dan membawa masuk Fandi Othman selaku pilihan utama di bek kiri tetapi masih gagal mengatasi masalah mereka. Dan ini diakuinya pada musim 2020 apabila mengatakan masih mencari bek kiri berpengalaman untuk The Red Giants. Dan musim lalu, seakan-akan ada sinar buat mereka.
Bek kiri meningkat naik, R. Dinesh telah menyertai Selangor dari Sri Pahang. Ia seolah-olah bakal selesaikan isu sekian lama membelenggu mereka. Begitupun, ia tidak sepenuhnya berhasil apabila Selangor masih gagal mempamerkan prestasi yang baik ketika bertahan. Faktor kecederaan mengganggu bek kiri berusia 23 tahun.
Bek kiri berpengalaman, Fazly Mazlan akhirnya menyertai pasukan dengan kontrak dua tahun dari juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT). Fazly Mazlan dilihat merantau mencari tempat dengan dipinjamkan ke Sri Pahang untuk dua musim sebelum ini. Mungkin penyertaan ke Selangor dilihat tepat buat kariernya saat ini.
Bukan hanya tepat buat karier Fazly Mazlan, malah ia akan selesaikan isu bermusim yang dilalui Selangor.
Untuk musim depan, Selangor telah memiliki dua bek kiri berkualiti iaitu Fazly Mazlan dan juga R. Dinesh.