Selepas dimalukan oleh PDRM dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super, Selangor akan memulakan pusingan kedua dengan bertemu Kelantan United di Kota Bharu.
Tewas 0-1 kepada PDRM, ia sedikit sebanyak merencatkan peluang Selangor untuk mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terlalu selesa di kedudukan teratas liga.
Bertemu Kelantan United, mereka jelas sekali tiada sebarang pilihan melainkan cumlah tiga mata yang mesti dibawa pulang ke Petaling Jaya.
Sebelum ini, Selangor menewaskan Kelantan United 1-0 pada aksi pembukaan Liga Super menerusi Yazan Al-Arab.
Kini beraksi di tempat lawan, skuad Tan Cheng Hoe perlu mendapatkan kemenangan untuk mengukuhkan cengkaman di tangga kedua liga dan cuba mendekati JDT.
“Untuk perlawanan esok, kami sepasukan akan bangkit semula dan cuba untuk dapatkan kemenangan. Kami tak mahu lagi perkara yang sama berulang.
“Saya yakin rakan sepasukan mahu dapatkan kemenangan ini untuk dapatkan semula momentum terbaik pasukan,” kata Aliff Haiqal menerusi laman rasmi Selangor.
Haiqal yang kebelakangan ini sering mendapat lampu hijau daripada Cheng Hoe untuk menjadi kesebelasan utama dalam skuad Selangor, gembira apabila beliau mula mendapat rentak yang baik bersama-sama kelabnya itu.
Pemain itu cuma berharap yang dirinya dapat terus meningkat prestasi seterusnya memberi impak positif kepada pasukan.
“Saya rasa gembira dapat bagi persembahan yang baik dalam tiga perlawanan sebagai kesebelasan utama, semuanya terima kasih kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe kerana berikan kepercayaan tersebut.
“Jujur ia sedikit sebanyak telah membantu saya dapatkan semula keyakinan untuk beraksi dan berikan yang terbaik kepada pasukan,” ulas Haiqal lagi.