Selepas dimalukan dengan begitu hebat oleh Brighton & Hove Albion dalam saingan FA Cup, pengendali Liverpool iaitu Jurgen Klopp mengaku pasukannya akan terus berjuang musim ini dengan pemain yang sama.
Pengendali itu mengakui yang Liverpool tidak akan mendapatkan mana-mana pemain terutamanya pemain tengah walaupun sedar itu adalah keperluan untuk menghidupkan cabaran musim ini yang berbaki Premier League dan UEFA Champions League sahaja.
Klopp dan Liverpool akan terus menggunakan pemain yang sedia ada bagi mengharungi baki saingan 2022/2023.
Bercakap kepada media selepas kekalahan 2-1 di Amex Stadium, Klopp mengatakan yang Liverpool tidak akan beli pemain baharu.
“Tidak. Tidak akan ada apa-apa yang berlaku dalam jendela perpindahan ini,” kata Klopp ringkas.
Klopp sedar yang pasukannya tidak beraksi dengan baik apabila bahagian pertahanan kanan yang diisi Trent Alexander-Arnold mudah sekali dirobek lawan.
“Di bahagian kiri, Andy Robertson bermain baik kerana kami membantunya tetapi di sebelah kanan Trent Alexander-Arnold tidak dapat sokongan [yang diperlukan].
“Hari ini kami bermain dengan lebih baik tetapi kami bolos dua gol dari situasi bola mati dan ini amat tidak boleh diterima.
“Kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik. Gol pertama terhasil kerana terkena biasan yang sepatutnya kami boleh halang rembatan itu,” ujar Klopp panjang lebar.
🗣️ "No nothing will happen in this transfer window, that's all."
Jürgen Klopp speaks to @CarrieBrownTV after Liverpool's FA Cup exit at the Amex.#FACup #BHALIV #LFC pic.twitter.com/oml1H34t0l
— beIN SPORTS (@beINSPORTS_EN) January 29, 2023
Dalam masa yang sama, Klopp berasakan yang pemain Brighton iaitu Kaoru Mitoma adalah bintang yang cukup berkualiti.
“Mitoma adalah pemain yang cukup bagus dan semestinya, ianya sukar [untuk menentang mereka],” kata Klopp.
Mitoma menjaringkan gol kemenangan di minit-minit akhir untuk menewaskan Liverpool dengan jaringan 2-1.