Skuad gergasi merah bakal berlepas ke Bangkok pada bulan Januari tahun depan untuk mengadakan latihan pra-musim sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang lebih mencabar.
Perkembangan ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon melalui laporan dalam Stadium Astro hari ini.
Menurut Johan, skuad kendalian B. Satiananthan itu akan menghadapi sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan dengan pasukan berkualiti di sana dari 10 Januar hingga 16 Januari 2019.
“Thailand adalah destinasi terbaik buat Selangor kerana kami bakal berdepan pasukan yang berkualiti bagi meningkatkan mutu permainan Selangor,” katanya.
Selangor juga akan mengadakan beberapa lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan, antaranya PKNP FC di Manjung, Perak hujung minggu ini.
“Kami telah berdepan Pulau Pinang minggu lalu sebelum menhadapi PKNP. Ia adalah inisiatif yang diambil jurulatih untuk menguji barisan pemain sebelum berlepas ke Thailand,” katanya lagi.