Selangor FA Nampak Ketinggalan Ketika Saingan Belum Pun Bermula (Prebiu Liga Super 2015)

Krisis hubungan Selangor FA dan penyokongnya berada di tahap terburuk sejak musim lepas apabila penyokong mendakwa pengurusan Selangor FA mengabaikan tanggungjawab mereka membangunkan pasukan dan pandangan peminat.

Prestasi Selangor FA di Liga Super pada musim lepas mungkin agak memuaskan dengan Selangor bergelar naib juara liga tetapi kekalahan 4-0 kepada pasukan kelab yang beraksi di Liga Perdana, Felda United dalam saingan suku akhir  Piala Malaysia bagaikan satu hentakan yang mendedahkan retak-retak di dinding yang ditutup dengan cat.

Ahmad Hazwan Bakri tiada jawapan menentang Felda United dalam saingan Piala Malaysia yang lalu (sumber: Selangor FA)
Ahmad Hazwan Bakri tiada jawapan menentang Felda United dalam saingan Piala Malaysia yang lalu (sumber: Selangor FA)

Puncak konflik antara pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan penyokong adalah apabila sebilangan penyokong Selangor bertindak menyimbah cat merah dan kuning ke pejabat FAS di Shah Alam. Mereka turut menyebar kain rentang yang menuntut rombakan kepimpinan FAS yang diketuai oleh Datuk Abdul Mokhtar Ahmad atau ‘mesra’ dipanggil Tok Uban.

Keadaan Pejabaat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)  yang disimbah cat . NSTP/Osman Adnan
Keadaan Pejabaat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang disimbah cat . NSTP/Osman Adnan

Kurangnya usaha promosi, harga tiket yang mahal, ketiadaan season pass untuk penyokong setia, keengganan FAS untuk memodenkan pasukan di sebalik kutipan tiket yang lumayan serta kegagalan FAS  untuk mengekalkan Paulo Rangel – adalah antara punca yang menyebabkan penyokong Selangor menuntut FAS dirombak. Paulo Rangel kemudiannya mendedahkan di media sosial bahawa kegagalan FAS untuk menunaikan janji mereka membayar bonus adalah punca beliau berhijrah ke Terengganu. Pengakuan Rangel ini ibarat mencurah minyak ke api kemarahan penyokong Selangor terhadap FAS.

Luahan kekecewaan Paulo rangel terhadap FAS (sumber: Instagram)
Luahan kekecewaan Paulo rangel terhadap FAS (sumber: Instagram)

Musim lepas, Mehmet Durakovic memimpin Selangor sebagai pasukan ke-2 terbaik di liga dengan rekod pertahanan yang terbaik di liga (19 gol sahaja daripada 22 perlawanan liga) dan mengasah taring Paulo Rangel di hadapan gol sehingga bergelar penjaring terbanyak liga dengan 16 gol.

Pencapain Mehmet Durakovic di Selangor agak memuaskan (sumber: The Football Sack)
Pencapain Mehmet Durakovic di Selangor agak memuaskan (sumber: The Football Sack)

Bagaimanapun, kegagalan Selangor menewaskan JDT di Shah Alam dan Larkin menimbulkan rasa kurang senang penyokong Selangor yang melihat peningkatan status JDT berbanding Selangor. Sudahlah JDT giat memajukan pasukannya di luar padang, di dalam padang juga JDT berjaya menewaskan Selangor. Selangor hanya mempunyai diri sendiri untuk dipersalahkan apabila gagal muncul juara liga. Jentera serangan mereka nampak terlalu bergantung dengan Paulo Rangel . Semasa tempoh penggantungan Rangel kerana menyiku pemain Terengganu, Selangor tewas dua perlawanan berturut-turut. Pada ketika inilah, JDT mengambil kesempatan untuk merampas takhta liga dari Selangor dan terus kekal sehingga minggu terakhir liga. FAS melihat pencapaian Mehmet Durakovic di liga sudah cukup memuaskan tetapi apa yang mereka tidak tahu adalah, penyokong Selangor turut menilai prestasi pengurusan mereka di pejabat FAS. Mereka ternyata tidak gembira dengan prestasi FAS. Tetapi FAS tidak memberi sebarang respon terhadap penyokong. Jika kronologi konflik FAS dengan penyokong Selangor dibukukan, tajuk bukunya adalah: Tips-tips Untuk Membuatkan Penyokong Bola Sepak Mengamuk. Introducing_2

Barisan pemain baru

Aspirasi kepimpinan FAS dipersoalkan penyokong apabila penjaring terbanyak Liga Super musim lepas, Paulo Rangel digantikan dengan penyerang yang pernah bergelut di Liga Moldova. Guilherme de Paula menpunyai tugas yang maha berat musim ini untuk membuktikan kemampuannya menggantikan Rangel.

Guiherme bergambar bersama wartawan Berita Harian (sumber: Twitter @wanfakhrul23)
Guiherme bergambar bersama wartawan Berita Harian (sumber: Twitter @wanfakhrul23)

Turut menyertai Guilherme adalah rakan senegaranya yang merupakan salah seorang pemain T-Team yang tersingkir dari Liga Super pada musim lepas. Robert Cornwaithe adalah pemain pertahanan tengah yang dibawa masuk untuk memperbaiki rekod pertahanan Selangor pada musim lepas. Norazlan Razali dan S. Subramaniam kembali ke Selangor setelah hampir setahun menghabiskan masa di bangku simpanan JDT. Mereka berdua adalah pemain utama Selangor sebelum berhijrah ke JDT tetapi perlu bermula dari kosong sekali lagi dan membuktikan kemampuan mereka di hadapan Durakovic.

Kekuatan

Rekod defensif Selangor yang bagus di liga mempunyai kaitan dengan taktikal Mehmet Durakovic. Durakovic gemar mengajak pasukan lawan menyerang mereka terlebih dahulu supaya pertahanan mereka meninggalkan ruang yang luas untuk dieksploit pemain sayap yang laju seperti Andik Vermansyah dan S. Kunanlan pada musim lepas. Ketika Selangor kehilangan bola, mereka akan membentuk two banks of four dengan compact shape. Ini memudahkan mereka untuk merampas kembali bola sebelum mereka menggunakan kelajuan Andik untuk menyerang ruang besar yang ditinggalkan pertahanan lawan ketika mereka sibuk menyerang. Dengan taktik ini, Selangor tidak perlu risau dengan kelajuan pemain sayap lawan yang nyata lebih pantas daripada Shahrom Abdul Kalam dan Robert Cornwaithe. Buktinya Selangor mempunyai rekod yang baik menentang pasukan yang cenderung menyerang melalui pemain sayap yang pantas seperti Perak, Pahang dan Lions XII.

Kelemahan

Mana-mana peminat bola sepak tidak nampak dimana logiknya sebuh pasukan yang memburu kejuaraan liga menggantikan penjaring terbanyak liga dengan penyerang yang bergelut menjaringkan 14 gol dalam 50 penampilan di Liga Moldova. Tidak cukup dengan itu, Guilherme de Paula turut memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di negara baru, liga baru dan ahli-ahli pasukannya sendiri. Tambah merisaukan, persembahan penyerang-penyerang tempatan yang lain tidak banyak meyakinkan penyokong Selangor. Ahmad Hazwan Bakri mempunyai teknik penyudah yang bagus tetapi mudah cedera. Thamil Arasu bukanlah penyerang yang anda mahu tugaskan untuk mengetuai jentera serangan pasukan. Beliau lebih sesuai bermain sebagai penyerang kedua kerana stamina dan work rate nya yang tinggi. Abdul Hadi Yahya muncul antara penyerang berbisa di Terengganu semasa di bawah bimbingan Irfan Bakti tetapi di bawah Durakovic, beliau hanya menjaringkan 1 gol daripada 19 penampilan liga. Ini bukanlah sesuatu yang anda mahu dari seorang penyerang. Afiq Azmi pula masih tak banyak melakukan sesuatu di dalam padang untuk membuang statusnya sebagai pemain berkontroversi.

Ayam tambatan

Sumber: Bolaindo.com
Sumber: Bolaindo.com

Tidak popular di Indonesia, Andik Vermansyah merupakan tonggak pasukannya dan sangat popular di kalangan peminat. Larian deras dan teknik gelecekan yang baik sememangnya sudah dijangkakan daripada permainan beliau, tetapi kualiti final ball beliau adakalanya mengecewakan terutamanya ketika di awal musim. Beliau tampak sudah memperbaiki hantaran lintangnya ketika separuh masa kedua liga dan ini merupakan petanda Andik masih mempunyai potensi yang boleh diperkembangkan. Beliau dinobatkan dalam Team of The Year oleh Majalah Four Four Two pada musim lepas, dan pada usia 24 tahun Andik masih boleh menjadi lebih baik berbanding musim sebelumnya.

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.

Follow Twitter kami di @semuanyabola.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN