Selepas pasukan Pahang mengumumkan tidak akan bertanding dalam kejohanan Piala AFC musim depan, pasukan Selangor disebut-sebut sebagai pengganti kedua yang lebih layak untuk menggantikan pasukan asal yang layak secara merit iaitu Kedah.
Bercakap kepada Berita Harian, Presiden Persatuan Bolaseapk Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal menyifatkan pasukan Selangor mungkin tidak akan beraksi dalam saingan itu tahun depan meskipun mereka berpeluang untuk mengisi slot yang ditinggalkan Kedah.
Jika tiada pasukan yang bersedia untuk mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) ke kejohanan peringkat Asia itu, ia pasti memberi tamparan hebat buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Juara Piala FA, Kedah tidak dibenarkan bertanding kerana gagal mendapatkan lesen AFC manakala Pahang, naib juara Liga Super dan Piala FA yang layak menggantikan skuad Helang Merah membuat keputusan menolak kerana ingin memberi tumpuan kepada saingan domestik.
Dengan Felda United yang menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga dan Perak (kelima) juga tidak memiliki lesen AFC, maka pasukan di tangga keenam liga, Selangor adalah calon yang tinggal untuk beraksi bersama JDT di kejohanan itu.
Menurut Subahan Kamal, FAS belum mahu membuat sebarang keputusan sama ada mereka akan membuat penampilan semula dalam Piala AFC selepas kali terakhir pada 2016.
“Setahu saya, belum ada apa-apa maklumat. Kita tunggu surat daripada FAM terlebih dahulu dan kemudian baru kami buat keputusan.
Ini bukan kali pertama Selangor mendapat peluang seperti ini di mana pada 2016, mereka juga tidak layak secara automatik dalam Piala AFC.
Skuad Red Giants yang menduduki tangga kedua Liga Super pada 2015 mendapat slot itu dengan menggantikan kelab dari Singapura, LionsXII yang muncul juara Piala FA.
Berdasarkan peraturan, AFC tidak akan menerima penyertaan pasukan yang berada di bawah kelompok enam pasukan teratas teratas Liga Super meskipun mempunyai lesen AFC iaitu PKNS FC,T-Team dan Pulau Pinang. -BH