Piala Malaysia: Selangor Lepas Geram Ke Atas PKNP FC

Selangor

Selangor melunaskan dendam atas kekalahan memalukan kepada PKNP FC di Stadium Shah Alam pada 4 Ogos lalu apabila berjaya merekodkan kemenangan 4-1 di Stadium Batu Kawan.

Ini juga merupakan kemenangan kedua buat Selangor selepas berjaya menundukkan juara Piala FA 2018, Pahang dengan keputusan 3-1 di Darul Makmur pada 1 September lalu.

Ia satu perlawanan yang sudah tidak memberi sebarang makna buat kedua-dua pasukan apabila PKNP FC dan Selangor telah sah tersingkir daripada saingan unifi Piala Malaysia 2018.

Pasukan yang dilanda ketidakpastian untuk saingan musim hadapan, PKNP FC dilihat kali pertama mempertaruhkan penjaga gawang, Asyraaf Omar dan merehatkan Syazani Puat.

Selangor pula telah membuat tiga perubahan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan penyerang Sean Selvaraj, pertahanan, Razman Roslan dan juga kapten, Amri Yahyah.

Asyraaf Omar diuji seawal minit ke-3 apabila penyerang sensasi Selangor, Rufino Sergovia berjaya melakukan tandukan namun ianya diselamatkan oleh penjaga gawang tuan rumah itu.

Rembatan kencang Fadhil Idris di minit ke-15 hampir mengejutkan pasukan pelawat apabila percubaannya itu telah menewaskan Khairulazhan namun hanya mengegar palang gol.

Kedua-dua pasukan tampak tenang bertukar-tukar hantaran ketika menguasai bola, malah jarang sekali mengasak dan menguji benteng lawan masing-masing dalam 25 minit pertama.

Namun, segalanya berubah menuju 15 minit terakhir babak pertama apabila kedua-dua pasukan berjaya menemui sentuhan jaringan bermula dengan jaringan oleh tuan rumah.

Minit ke-29, Khairulazhan akhirnya tertewas apabila penyerang PKNP FC, Fandi Ahmad berjaya menjaringkan gol pertama buat tuan rumah selepas menerima hantaran Dany Karl Max.

Walaubagaimanapun, dua kesilapan oleh pertahanan PKNP FC, Khuzaimi Piee telah menyumbang kepada kebangkitan Selangor dengan tiga gol telah dihasilkan oleh pelawat selepas itu.

Evan Dimas berjaya meledak gol pertamanya dalam saingan Piala Malaysia selepas melepasi kawalan Khuzaimi seterusnya menyamakan kedudukan buat Selangor di minit ke-37.

Tiga minit berselang, Khuzaimi sekali lagi mengundang masalah kepada tuan rumah apabila menghadiahkan penalti buat pelawat dan Rufino tenang menjaringkan gol kedua Selangor.

Asyraaf Omar sekali lagi dirobek pada minit ke-43 apabila kapten Selangor, Amri Yahyah berjaya meledak gol ketiga selepas sepakan percumanya terbias pada benteng pertahanan PKNP FC.

Babak kedua bermula dengan PKNP FC cuba meningkatkan asakan serta membuat dua pertukaran untuk cuba mencari gol namun dikecewakan dengan sentuhan penyudah yang tumpul.

Walaupun sedang mendahului perlawanan, The Red Giants juga dilihat masih bernafsu untuk memecah masuk ke kawasan defensive third tuan rumah yang tampak longgar di sebelah kiri.

Minit ke-72, tandukan Dany Karl Max hanya singgah di palang gol pasukan pelawat walaupun telah berjaya mengatasi pertahanan lawan dan juga penjaga gawang, Khairulazhan.

Tempo perlawanan kedua-dua pasukan semakin perlahan menuju ke wisel penamat dan PKNP FC yang dilihat berterusan mencari gol tampak terus bergelut di jentera serangan mereka.

Di saat-saat perlawanan hampir ditamatkan, pemain gantian, Joseph Kalang Tie telah berjaya menjaringkan gol ke-4 Selangor menerusi tandukan tipis hasil hantaran Ilham Udin.

Perlawanan akhirnya ditamatkan oleh pengadil dengan Selangor berjaya meraih 3 mata berheraga seterusnya memintas PKNP FC di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan 6 mata.

Kekalahan ini juga menyaksikan PKNP FC gagal menang dalam 5 perlawanan berturut-turut selepas menang dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia menentang Selangor.

PKNP FC: Asyraaf Omar (GK), Sukri Hamid, Ritus Krjauklis, Faizzzwan Dorahim (73′ Syamim Baharuddin), Khuzaimi Piee, Syami Shukri, Hafiz Ramdan (K), Fadhil Idris (55′ Norhakim Isa), Ibni Khozaimi (61′ Amirul Wa’ie), Fandi Ahmad, Dany Karl Max

Selangor: Khairulazhan Khalid (GK), Razman Roslan, Willian Pacheco, K. Kannan, Amirul Ashraf, Evan Dimas (78′ Joseph Kalang Tie), K. Sarkunan, Syahmi Safari, Amri Yahyah (K) Sean Selvaraj (71′ Ilham Udin), Rufino Sergovia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN