Brendan Gan kembali menyertai Selangor setelah berehat panjang akibat kanser yang dialami beliau musim lalu. Untuk itu, Selangor boleh menarik nafas lega apabila sekembalinya pemain ini dapat menyakinkan lagi barisan tengah pasukan musim 2022.
Beliau disahkan menghidap kanser testis pada thaun lalu dan telah menjalani pembedahan pada bulan Jun yang menyaksikan Brendan terlepas banyak aksi bersama Selangor serta tidak menyertai Harimau Malaya ke saingan Piala AFF 2020.
Pemain berusia 33 tahun itu mengakui sangat teruja untuk kembali menjalani latihan bersama Red Giants sambil mengharapkan sesuatu yang positif untuk pasukan diwakili beliau itu tahun ini seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.
“Ia sangat bagus untuk kembali terutama dengan Selangor. Ia akan menjadi musim yang menakjubkan, saya gembira dapat kembali ke padang latihan,” jelas Brendan.
“Perasaan yang hebat dapat kembali ke sini bersama-sama pemain lain dan jurulatih baharu. Tapi mereka tidaklah benar-benar baru kerana mereka sudah berada di sini sebelum ini dan kami sudah mengenali antara satu sama lain.”
Tambah beliau lagi,”jadi ia masa yang menarik untuk datang ke padang latihan dan menjadi sebahagian daripada pasukan selain melihat pemain muda dari Selangor 2 yang sentiasa berusaha mendaki ke pasukan senior.”
Sebelum itu, ketiadaan Brendan amat dirasai buat Selangor yang seolah-olah tiada jeneral untuk memandu kawasan tengah pasukan dalam bergerak dengan lebih kreatif mencipta ruang.
Malah, ketiadaan pemain kacukan Malaysia-Australia ini juga begitu dirasai dalam kem Harimau Malaya baru-baru ini di saingan Piala AFF 2020 yang menyaksikan Malaysia tampil agak longlai tanpa pemain tengah yang mencukupi.
Tanpa Brendan, pasukan negara hanya mempertaruhkan dua nama sahaja yang beraksi di posisi yang sama seperti beliau dan itu dilihat tidak mencukupi bagi membantu Malaysia layak lebih jauh lagi ke pusingan seterusnya.
“Cabaran demi cabaran sudah cukup memberikan motivasi kepada saya. Namun, saya juga akan terus memberikan motivasi kepada pemain lain dan memastikan mereka sentiasa bersedia untuk setiap latihan dan perlawanan,” kata Brendan.