Brendan Gan Tampilkan Taat Setia Untuk Kekal Bersama Gergasi Merah

Kapten Selangor, Brendan Gan tetap menampilkan taat setia bersama pasukan Selangor FC apabila sah menandatangani kontrak baharu untuk terus kekal bersama pasukan dengan jolokan nama ‘Gergasi Merah itu’.

Tidak dapat dipastikan berapa lamakah kontrak baharu yang dipersetujui kedua-dua pihak, namun Selangor FC mengesahkan Brendan akan terus kekal sebagai pemain mereka sekurang-kurangnya untuk musim 2022.

Perkara itu disahkan oleh pihak Selangor FC melalui satu kenyataan pada petang Ahad.

“Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kapten kelab, Brendan Gan telah bersetuju dengan perjanjian baharu untuk kekal sebagai pemain Red Giants untuk musim 2022,” kata kenyataan tersebut.

“Sejak perpindahan dari Perak pada 2020, Brendan telah menjadi salah seorang watak penting di Selangor, bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, tetapi juga sebagai contoh.

“Beliau juga telah menjadi simbol insipirasi di Selangor FC dengan sikap optimisme, kesungguhan dan keyakinan ketika melawan kanser yang menyebabkan beliau terpaksa berehat selama 6 bulan. Kapten pasukan itu kini sedang bekerja keras untuk kembali dan akan menyertai skuad utama di dalam sesi latihan tidak lama lagi.”

Cabaran Brendan hadapi kanser testis

Pemain tengah kebangsaan, Brendan Gan mengesahkan beliau telah didiagnosis menghidapi penyakit kanser testis menerusi hantarannya di media sosial pada Julai lalu.

Berita mengejutkan itu turut dikongsi oleh pasukannya Selangor FC yang memaklumkan kapten mereka telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan.

“Tiada apa mengenai kisah hidup saya kecuali perkara yang positif. Jika ada pun yang dikatakan ‘negatif’, ianya hanya menjadikan saya lebih kuat dan sentiasa mendorong saya untuk melihat sinar dalam setiap situasi,” ujar Brendan dalam akaun facebook peribadinya.

“Ia telah membina karekter dan ketabahan pada diri saya untuk bertahan dalam menghadapi setiap cabaran. Inilah yang membawa saya kepada cabaran seterusnya.

“Saya telah disahkan menghidapi kanser testis. Saya telah menjalani pembedahan dan akan berdepan dengan rawatan seterusnya tidak lama lagi.”

Pemain berusia 31 tahun itu turut meluahkan rasa syukurnya kerana mendapat sokongan dari semua pihak terutamanya keluarga rakan-rakan dan seluruh komuniti bola sepak.

Dikenali sebagai pemain berjiwa besar

Brendan Gan sememangnya dikenali sebagai seorang pemain berjiwa besar dan tidak mengenal putus asa. Karakter luar biasa beliau menjadikan Brendan sebagai salah seorang pemain yang amat dihargai dan dihormati kawan dan lawan.

Kanser testis bukan satu-satunya cabaran dan perkara yang perlu dihadapi oleh Brendan sepanjang kariernya. Pemain ini juga pernah melalui dua kecederaan ACL sebelum ini

Kecederaan ACL adalah kecederaan yang paling digeruni oleh mana-mana pemain bola sepak. Kebarangkalian prestasi pemain untuk merosot teruk selepas kecederaan tersebut sehingga terpaksa mengakhiri karier mereka, sangatlah besar.

“Secara mental, ianya adalah detik paling sukar dalam hidup saya. Jika saya duduk di Malaysia (sepanjang pemulihan) saya boleh jadi gila dan mungkin berhenti bermain bola sepak,” ujar beliau pada ketika itu.

Enggan berpeluk tubuh meratapi kecederaan tersebut, Brendan kembali ke Australia untuk menjalani rawatan. Usaha gigihnya terbukti terhasil apabila Brendan tampil sebagai pemain utama Perak selama dua musim , dan juga bersama pasukan kebangsaan. Malah beliau adalah antara pemain kebangsaan paling menonjol pada 2019, selepas pulih dari kecederaan tersebut.

Selamat maju jaya

Selepas apa yang dihadapi oleh Brendan sudah tentu kita mengharapkan beliau mampu menampilkan aksi terbaik beliau bersama Selangor FC dan pasukan negara selepas ini.

Brendan Gan yang kita semua kenali adalah seorang pemain yang dikenali dengan etika dalam padang. Tak kenal erti putus asa dan sentiasa mengerah segala kudrat. Bak kata orang, “takde nak simpan simpan – sentiasa all out!”.

Buat Brendan Gan, selamat maju jaya daripada kami.

Leave a Reply