Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baharu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab menerusi akaun media sosial rasmi pasukan yang memaparkan video Syihan dibawa menaiki kereta limosin yang menuju ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Perkembangan tersebut menamatkan spekulasi mengenai penjaga gol berusia 26 tahun tersebut yang sah meninggalkan Negeri Sembilan pada penghujung tahun lalu.
Ia juga menjawab persoalan mengenai status pemain tempatan yang ditandatangani oleh JDT untuk tahun 2023 yang pernah disebut oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam temubualnya sebelum ini.
Wartawan : Jadi Tunku confirm ye penjaga gol N9 akan datang ke JDT
TMJ : Siapa?
Wartawan : Syihan, Tunku
TMJ : Syihan, saya tak kenal siapa Syihan
Jawab Tunku Mahkota Johor secara berseloroh ketika ditanya tentang ura-ura perpindahan Syihan Hazmi ke @OfficialJohor pic.twitter.com/tuUDBgeldX
— Flash Sukan (@FlashSukan) November 28, 2022
Musim 2022 menjadi kempen paling membanggakan buat pemain kelahiran Kelantan tersebut dalam kariernya apabila berjaya mempamerkan aksi terbaik dan seterusnya membantu Negeri Sembilan menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.
Beliau turut terpilih sebagai penjaga gol terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022 dan merampas anugerah tersebut dari Farizal Marlias setelah sekian lama mendominasi kategori itu.
Spekulasinya turut tidak mengganggu konsentrasinya ketika beraksi bersama skuad Harimau Malaya di pentas Piala AFF 2022 yang lalu dan menamatkan saingan peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Thailand tempoh hari.