Saingan Liga M3 kini sudah secara rasminya tamat pusingan pertama apabila kesemua 13 pasukan sudah selepas mengharungi 12 perlawanan.
Minggu lalu menjadi penanda kepada perjuangan memasuki separuh jalan dengan enam perlawanan diadakan.
Pasukan Utara, Perlis United meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Melaka tempoh hari. Kali ini, mereka menjadikan kelab kelompok atasan iaitu SAINS dengan jaringan 2-1.
Kemenangan di laman sendiri ini terhasil Sadam Hashim meletakkan tuan rumah di depan pada awal separuh masa kedua.
Persaingan nyata sengit menuju ke tamat perlawanan namun gol oleh Ikmal Ibrahim pada minit ke-88 memateri tiga mata untuk Perlis.
SAINS berjaya mendapatkan gol oleh Dzaiddin Zainuddin pada minit ke-90 namun ianya sudah terlambat untuk kelab Negeri Sembilan itu cuba membawa pulang satu mata.
Di Stadium Bandaraya, Imigresen terpaksa mengigit jari apabila bolos gol pada masa kecederaan separuh masa kedua dan ini membuatkan mereka hanya terpaksa seri sahaja bertemu Bukit Tambun.
Ferris Danial meletakkan pencabar kejuaraan Liga M3 itu di depan pada minit ke-53 sebelum bencana menimpa mereka.
Bencana yang dimaksudkan adalah gol minit akhir oleh Afif Azman memberikan kegembiraan buat Bukit Tambun dan sekali gus menafikan tiga mata yang hampir dibawa pulang oleh Imigresen.
Di Kuching pula, Sarawak United dan Melaka juga terpaksa berpuas hati dengan satu mata buat kedua-dua pasukan selepas turut seri 1-1.
Gol awal oleh Ashri Chuchu pada minit ke-9 dipadamkan oleh jaringan lewat Ridzuan Razali pada minit ke-86.
Berikut merupakan keputusan-keputusan lain untuk aksi ke-12 Liga M3:
- Malaysia University 2-1 Armed Forces (Saiful Iskandar 31′, Akmal Afnan 89’/Hairul Iqmal 56′)
- PIB 2-0 Naga Ultimate (Adib Hakimi 38′, Farez Aiman 54′)
- Harini 0-0 Manjung City
KL Rovers juara separuh masa
Selepas tamatnya separuh perjalanan Liga M3, KL Rovers menjadi pendahulu liga dengan 30 mata – tiga mata di depan pencabar utama iaitu Harini.
Lebih menarik, Rovers mendahului liga dengan tidak tewas sebarang perlawanan pun. Mereka mencatatkan sembilan kemenangan dan tiga seri untuk berada di puncak.
Di peringkat bawahan, Sarawak United menjadi satu-satunya pasukan yang hanya mempunyai jumlah mata dengan satu digit apabila mengutip empat mata sahaja.
Naga Ultimate kekal di kelompok bawahan tanpa sebarang mata.