Saingan Liga M3 semakin mendebarkan apabila setiap pasukan yang bersaing terus menunjukkan taring mereka dalam memburu kejuaraan.
Taring itu dapat dilihat menerusi Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) apabila mereka meneruskan rentak cemerlang dalam saingan kali ini.
KL Rovers meneruskan rekod tanpa mereka untuk terus mengukuhkan cengkaman di puncak liga selepas menewaskan Bukit Tambun.
Gol minit-minit akhir oleh Amer Saidin memisahkan kedua-dua pasukan dan itu sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat KL Rovers.
Imigresen yang begitu hebat menghambat KL Rovers turut meraih kemenangan untuk memastikan mereka terus mengejar pendahulu liga itu.
Mereka menewaskan PIB 4-0 di tempat lawan pada Sabtu dengan Hazim Abu Zaid dan Azim Rahim masing-masing menjaringkan satu gol sebelum Alif Romli menyumbat gol berganda.
SAINS juga tidak kurang hebatnya apabila mereka menumbangkan Sarawak United dengan jaringan 3-2 di Tampin.
Perlawanan yang begitu sengit itu menyaksikan SAINS ‘berpeluh’ sebelum menewaskan wakil Borneo tersebut.
Tuan rumah bagaimana pun mendahului menerusi jaringan Khaizil Jasmi pada minit ke-11 sebelum Firdaus Azizul menyamakan kedudukan pada minit ke-72.
Sarawak kemudiannya cuba merapatkan jurang menerusi gol oleh Rahim Razak pada minit ke-76 namun usaha itu dimatikan terus menerusi Firdaus yang menghasilkan jaringan ketiga SAINS lima minit sebelum masa kecederaan.
Rahim sekali lagi mencuba dengan gol pada masa kecederaan namun ianya semua tidak membawa apa-apa makna buat mereka.
Berikut merupakan keputusan-keputusan lain Liga M3 untuk minggu ketujuh ini:
- Malaysia Universiti 0-0 Perlis United
- Armed Forces 3-1 BRM (Dzulfadhlie 33′, Venice Elphi 57′, Nor Fazli 88’/Faiz Hanif 70′)
- Manjung City 3-3 Melaka (Afeeq Iqmal 28′ 49′, M. Youwarasan (GS) 74’/M. Youwarasan 66′, Ridzuan Razali 89′, Fakrul Aiman 90+2′)
- Harini 5-1 Ultimate (Mohamad Firdaus (GS) 12′, Hafizie Erwinshah 23′, Khyril Muhymeen 27′, Zulkiffli Zakaria 57′ 89’/M. Megraj 7′
Selesa walaupun dihambat
Walaupun teruk dihambat, namun KL Rovers sebenarnya boleh dikatakan selesa di puncak dengan 18 mata.
Hal ini kerana, mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan dan ini boleh digunakan untuk menjarakkan kedudukan kepada lima mata di depan pencabar Imigresen dan Harini.
Di bahagian bawahan, Ultimate kekal menjadi satu-satunya pasukan yang tidak mempunyai sebarang mata setakat ini.
Sarawak yang berada di atas mereka telah mencatatkan tiga mata daripada tujuh minggu perlawanan.