Sejauh Mana Kewajaran Larangan Kibaran Bendera Malaysia Di SSI?

Bendera Malaysia SSI Tak boleh ke

Tular mengenai isu larangan kibaran bendera Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) oleh Marshall JDT dan ia telah pun diperjelaskan tentangnya.

Isu tersebut menjadi hangat selepas salah seorang penyokong dikatakan ditegur oleh Marshall yang bertugas kerana mengibarkan bendera Malaysia.

Ia dikatakan dikibarkan ketika nyanyian lagu Negaraku sebelum sepak mula perlawanan. Adakah wajar larangan ini dilaksanakan di stadium yang menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang bangsa dan kaum?

Menerusi laman Facebook, Marshall JDT, mereka menjelaskan sebab kepada larangan tersebut. “Sebabnya adalah kehadiran penyokong adalah bagi menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan JDT dan bukannya Malaysia,” jelas Marshall JDT menerusi balas komen di Facebook.

“Tiada kibaran Jalur Gemilang dibenarkan di SSI. Kami harap tuan dapat memahami larangan ini.”

“Sebabnya adalah kehadiran penyokong adalah bagi menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan JDT dan bukannya Malaysia. Oleh yang demikian, kami berharap agar selepas ini jangan dibawa masuk Jalur Gemilang ke SSI. Maaf ya tuan.”

Kenyataan oleh Marshall JDT

Genap setahun yang lalu, isu berkaitan Marshall JDT juga timbul ketika saingan Piala Malaysia apabila penyokong Sabah FC mengadu yang seolah-olah kain rentang mereka dihadang oleh sekumpulan marshall yang berdiri di depan kain rentang tersebut dan dilihat selamba menonton perlawanan.

Begitupun Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi laman sosial mereka tampil menjelaskan situasi tersebut. Marshall itu ditugaskan untuk berada di sekeliling penyokong Sabah untuk melindungi mereka. Ini kerana tiada tempat duduk khusus untuk penyokong Sabah disediakan kerana tiada permintaan dilakukan oleh pasukan lawan sebelum perlawanan tersebut.

Selain itu, timbul juga isu YouTuber dari Indonesia di SSI beberapa hari yang lalu. Walaupun tidak menamakan YouTuber ‘terkenal’ tersebut, individu yang dimaksudkan dikenali sebagai Vikri yang bertandang ke SSI untuk membuat liputan perlawanan menentang PJ City FC – khususnya debut Jordi Amat yang paling dinanti-nantikan oleh para penyokong bola sepak Indonesia.

Tidak dapat dipastikan insiden apa yang telah berlaku, namun ia dikatakan berkaitan isu YouTuber itu dengan pihak marshall. Dan JDT menerusi laman sosial mereka telah memaklumkan yang ia telah diselesaikan secara baik.

YouTuber itu turut dijemput untuk ke Kota Bharu bagi membuat liputan aksi suku akhir Piala Malaysia menentang Kelantan pada 5 November depan.

Bagaimanapun, difahamkan tiada larangan penyokong membawa masuk bendera pasukan lain jika pasukan mereka beraksi di SSI menentang JDT.

Seperti yang kita ketahui majoriti stadium di Malaysia terdapat larangan untuk membawa barang berbahaya antaranya rokok, payung, helmet, pemetik api, power bank, botol, minuman alkohol, pisau dan lampu laser.

Namun, adakah wajar bendera Malaysia turut dilarang dibawa ke SSI?

Ia sebenarnya berbalik kepada undang-undang yang dibuat oleh pasukan tersebut. Tidak kira apa jua larangan yang dikuat kuasakan, pastinya ia ada sebab tersendiri mengapa ia menjadi barang larangan termasuklah bendera Malaysia. Mungkin ia bagi mengelakkan provokasi tidak sepatutnya.

Kita tahu bagaimana sentimen dan provokasi berkaitan Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia yang sentiasa menjadi isu yang hangat diperdebatkan.

Mungkin ini adalah sebab paling logik untuk difikirkan pada ketika ini.

Adakah pasukan di luar negara mempraktikkan undang-undang sebegini di stadium mereka untuk satu-satu perlawanan? Anda boleh lihat kepada perbincangan isu ini di laman sesawang FSA ini. Mereka ada bertanyakan kepada setiap stadium di England dan Wales tentang isu sebegini.

Antara yang menarik perhatian adalah terdapat pengurusan stadium yang meminta penyokong yang mahu membawa banner, bendera atau panji menghantar maklumat-maklumat berkaitan termasuklah Sijil Perakuan Bomba (FC) atau ‘fire certificate’ kepada pihak kelab untuk diperakukan.

Inilah undang-undang yang dipraktikan termasuklah di kelab-kelab seperti Arsenal yang meminta ia dihantar dalam 10 hari bekerja sebelum aksi.

Tottenham Hotspurs pula melarang bendera negara untuk dibawa masuk jika terdapat isu atau konflik-konflik berkaitan politik pada ketika itu.

Dua kelab Manchester – United dan City pula seperti mana JDT melarang bendera-bendera yang tidak berkaitan dengan perlawanan di stadium.

Kembali kepada persoalan kewajaran, ia bergantung kepada kelab tersebut dan jika ia boleh menimbulkan masalah, tentunya ia akan dilarang. Kita tidak boleh menduga apa akan berlaku, namun berdasarkan sentimen dan isu Bangsa Johor dan Bangsa Malaysia, memungkinkan ia adalah wajar?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN