Negeri Sembilan FC merupakan antara empat pasukan yang belum tewas dalam tiga minggu awal Liga Super selain Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC, jadi bagaimana berdepan Penang FC?
Menurut perkongsian seorang pemilik akaun Twitter, Afiq Shari, rekod pertembungan antara Negeri Sembilan dan Penang seperti hampir keseluruhannya tidak pernah memihak kepada Skuad Jangs. Anda boleh ikuti akaun Twitternya untuk sebarang kemaskini fakta pra-perlawanan Liga Super 2022 pada setiap minggu perlawanan.
Dalam lima pertembungan terkini mereka, Penang menang dua pertembungan terkini selain tidak tewas dalam empat daripadanya. Ini menunjukkan betapa sukar buat Negeri Sembilan untuk berdepan Penang malam ini.
https://twitter.com/AfiqShari/status/1512434685401792516
Dan berdasarkan rekod dalam semua kejohanan di laman sendiri sejak 2010, Penang belum pernah tewas kepada Negeri Sembilan. Lebih sedekad lalu, Penang tewas 0-3 kepada Negeri Sembilan di Liga Super 2010.
Agak menarik musim ini, Skuad Jangs berada pada momentum terbaik dengan menduduki tangga ke-5 liga walaupun hanya selepas dua aksi berbanding empat pasukan di atas mereka yang telah melalui 3 perlawanan.
Skuad yang dikendalikan oleh K. Devan ini jelas sangat bersedia dengan cabaran selepas kembali semula ke saingan tertinggi Liga Malaysia musim ini. Mereka menang 1-0 ke atas Sabah FC sebelum berhasil mengikat Selangor dengan keputusan 2-2 biarpun pada awalnya ketinggalan dua gol sehingga aksi di babak kedua.
https://twitter.com/harimaumalaya7/status/1498195291677155329
Bercakap kepada Harian Metro, penyerang tempatan Negeri Sembilan, Sean Selvaraj dipetik melaungkan keyakinan yang mereka mampu untuk menundukkan Harimau Kumbang dalam perlawanan malam ini. Beliau mahu rakan-rakannya supaya berhati-hati, tetapi yakin hasrat mendapatkan tiga mata bukanlah mustahil.
“Penang dilihat antara pencabar terkuat dalam saingan ini dan kita tidak boleh ambil mudah kekuatan mereka. Jika diberikan peluang beraksi, saya akan berikan yang terbaik untuk pasukan dan yakin rakan-rakan juga akan melakukan perkara sama dengan sasaran mendapatkan mata kemenangan.”
Sean Selvaraj, Harian Metro
Berusia 25 tahun dan merupakan antara pemain tempatan yang pernah dijangka akan menjadi siulan di masa depan, Sean Selvaraj dilihat gagal menempatkan diri dalam skuad utama sejak beberapa musim ini. Dalam saingan Liga Super musim ini, beliau telah diberikan 34 minit permainan dalam dua perlawanan sebelum ini.
Adakah benar jangkaan Sean Selvaraj yang Negeri Sembilan mampu menang ke atas lawan selepas kali terakhir melakukannya lebih sedekad lalu? Penang dan Negeri Sembilan merupakan wakil juara Liga Premier 2020 dan 2021, serta dijangkakan ia akan menjadi satu pertembungan yang menarik di Stadium Bandaraya malam ini.