Kesusahan orang ramai susulan serangan wabak COVID-19 yang kini sedang melanda seluruh dunia, tidak terkecuali di Malaysia membuatkan pemain sayap kiri Selangor, Sean Selvaraj terpanggil untuk berkongsikan rezeki yang dinikmatinya pada ketika ini.
Pemain yang akan menjengah usia 24 tahun pada 11 April itu berhajat untuk membantu golongan keluaraga tidak bernasib baik. Hajat murninya itu telah diluahkan dalam satu hantaran di ‘Instagram Story’ milik beliau yang berbunyi:
”Hai semua, saya tahu ketika ini adalah masa yang sukar buat negara kita dan juga buat beberapa keluarga yang terjejas dari segi kewangan.”
”Saya ingin membantu 10 buah keluarga yang amat memerlukan bantuan. Saya mahu mendermakan RM100 kepada setiap keluarga”
”Jangan malu untuk berhubung dengan saya [bagi mendapatkan bantuan tersebut],” ujar Sean lagi.
Sememangnya satu langkah terpuji diambil oleh Sean dalam usahanya untuk meringankan beban sesetengah keluarga yang mungkin amat terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa kedua ini.
Semoga hajat murni Sean ini menjadi ikutan buat semua insan yang mempunyai rezeki lebih untuk dikongsikan bersama orang lain.
Sehingga artikel ini ditulis, sudah terdapat 3116 kes positif COVID-19 yang telah dicatatkan di Malaysia dengan 50 kematian setakat ini. Sebanyak 767 pesakit sudah disahkan pulih daripada jangkitan tersebut.
Kredit foto: FA Selangor