Pemain tengah Manchester United, Scott McTominay memuji potensi hebat yang ada dalam diri rakan sepasukannya, Donny van de Beek meskipun rekrut baharu itu sedang bergelut untuk memenangi hati pengendali pasukan, Ole Gunnar Solskjaer.
Van de Beek yang diberikan peluang beraksi sebagai kesebelasan utama ketika menentang RB Leipzig dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam telah memberikan sumbangan berkesan buat The Red Devils.
Sehubungan dengan itu, McTominay optimis lebih banyak peluang akan dinikmati pemain kelahiran Belanda itu untuk mempamerkan kualiti hebat dimilikinya.
”Donny van de Beek merupakan seorang pemain yang hebat dan bijak,” ujar McTominay menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
”Saya pasti, cara dia bekerja ketika sesi latihan dan bagaimana dia bekerja keras, masanya akan tiba buat dia untuk mendapatkan lebih minit perlawanan pada masa hadapan.”
”Saya ada bercakap dengannya dan merupakan seorang pemain muda yang bagus. Apa yang diimplementasikannya ketika sesi latihan, dia tidak pernah lewat ke padang – sentiasa menepati masa dan berlatih dengan sepenuh hati.”
”Kami [Manchester United] kini mempunyai pemain yang cukup baik,” tambah McTominay lagi.
Van de Beek menyertai Manchester United daripada kelab Liga Eredivisie Belanda, Ajax pada jendela perpindahan lalu dengan nilai perpindahan berjumlah £35 juta dan telah membuat lapan penampilan dalam semua pertandingan yang disertai kelab tersebut.
Kredit featured image: Matthew Peters/Manchester United via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Donny van de Beek: