Quantcast

KOMUNITI SELANGOR CHAMPIONS LEAGUE

SCL2019: SLB UP FC Akhiri Saingan Dengan Kemenangan 1-0 Ke Atas MBSA FC

SLB UP FC merakamkan kemenangan sulung pada aksi terakhir peringkat kumpulan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas menundukkan pendahulu kumpulan B, MBSA FC 1-0 di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Sedar peluang untuk lolos ke suku akhir sudah pun tertutup rapat, SLB UP FC tetap mempamerkan corak permainan bertenaga dalam usaha memberikan tekanan buat MBSA FC.

Kelibat Syazwan Basil dan Azraf Maksom di bahagian sayap SLB UP FC nyata memaksa jentera pertahanan MBSA FC bekerja keras mengekang asakan.

MBSA FC yang menyandarkan harapan kepada penjaring terbanyak pasukan, Ahmad Hafiz Abdul Aziz turut memiliki beberapa peluang terbaik tetapi gagal disempurnakan dengan baik.

Jaringan dinantikan SLB UP FC akhirnya hadir pada minit ke-53 apabila umpanan menarik daripada Azraf terus mencari Amirul Fitri yang berjaya lepas melepasi perangkap ofsaid dan kemudiannya melakukan hantaran kepada Asyidi Dil Ashar.

Asyidi yang langsung tidak dikawal pertahanan MBSA FC dengan mudah menolak masuk bola sekaligus merupakan gol kemenangan buat SLB UP FC.

Dengan kemenangan itu, SLB UP FC menamatkan saingan SCL 2019 di tempat ketujuh selepas mengumpul lima mata hasil satu kemenangan, dua keputusan seri dan empat kekalahan.

MBSA FC pula meneruskan persaingan ke peringkat suku akhir selaku juara kumpulan B dengan 15 mata diperolehi selepas mencatatkan lima kemenangan dan dua kekalahan.