Quantcast

KOMUNITI SELANGOR CHAMPIONS LEAGUE

SCL2019: SA Klasiko Lepasi Cabaran Hebat Bukit Kapar FC

SA Klasiko FC menutup tirai minggu kelima saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Bukit Kapar FC 2-1 pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.

Kemenangan itu meletakkan SA Klasiko FC di tangga ketiga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan.

Ammar Anuwar meletakkan SA Klasiko di hadapan pada minit kesembilan selepas dengan tenang beliau menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Amir Safuan Badeli.

Penjaga gol Bukit Kapar FC, Muhammad Syafiq Aladin perlu menyalahkan diri sendiri kerana kelalaiannya pada minit ke-15 memberikan peluang buat Nabilah Khan untuk menambah jaringan kedua.

Memasuki babak kedua, Bukit Kapar FC berusaha keras bagi memburu jaringan dalam usaha mengurangkan defisit jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-64 menerusi rembatan dalam kawasan penalti diledakkan Firdaus Musa.

Seminit kemudian, Firdaus hampir kembali menyamakan kedudukan tetapi percubaannya hasil gerakan solo sekadar singgah di tiang gol.

Tekanan hebat Bukit Kapar FC pada lewat permainan berjaya dikekang pertahanan SA Klasiko FC untuk perlawanan berkesudahan 2-1 memihak skuad bimbingan Khairil Anuar itu.

Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Rasydan (SA Klasiko FC)