MPKJ FC terus gah di puncak saingan kumpulan B selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas SLB UP FC pada aksi minggu kelima Selangor Champions League 2019 (SCL2019) yang berlangsung di Arena MPSJ, Subang Jaya malam tadi.
Kejayaan yang dilakarkan pada perlawanan ini bagaimanapun tidaklah semudah yang disangka kerana MPKJ FC diikat pada aksi separuh masa pertama.
Namun, semuanya berubah ketika perlawanan separuh masa kedua baru berusia seminit apabila Rijal Fikry menolak mudah bola hasil tandukan ke belakang dilakukan Aiyakhaire Daniel selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol SLB UP FC.
Kelebihan itu hanya mampu bertahan selama tiga minit selepas Zameer Zainun melepaskan satu sepakan percuma menarik yang terus menerjah gawang MPKj FC untuk kembali menyamakan kedudukan di minit ke-39.
Peledak utama, Aiyakhaire menceriakan kembali kem MPKj FC selepas rembatannya dalam kawasan penalti hasil lorongan cantik pada minit ke-65 telah menghadiahkan kemenangan keempat buat pasukan tersebut.
Dengan kemenangan tersebut, MPKj FC semakin selesa di tangga teratas kumpulan B dengan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu keputusan seri.
Bagi SLB UP FC pula, ia merupakan kekalahan ketiga untuk berada di tangga ketujuh dengan dua mata hasil dua keputusan seri dicatatkan.
Pemain terbaik perlawanan: Aiyakhaire Daniel (MPKj FC)