Quantcast

KOMUNITI SELANGOR CHAMPIONS LEAGUE

SCL2019: NPNG FC Damansara Damai Bangkit Atasi Belia Selangor

NPNG FC Damansara Damai bangkit daripada ketinggalan satu jaringan untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Belia Selangor pada aksi minggu kelima saingan kumpulan B Selangor Champions League 2019 yang berlangsung di Arena MPSJ, Subang Jaya petang semalam.

Meskipun NPNG FC Damansara Damai turun selaku pasukan pilihan pada perlawanan ini, skuad pelapis Selangor itu tidak memberikan laluan mudah buat lawan tersebut.

Segalanya berada di landasan yang tepat buat Belia Selangor apabila Ahmad Danial menghadirkan jaringan pendahuluan pada minit ke-25.

Ahmad Danial bijak melakukan larian yang melepasi kawalan pertahanan NPNG FC Damansara Damai bagi menyambar hantaran cantik daripada Haikal Haziq dan kemudiannya memperdayakan penjaga gol, Muhammad Hanif Faizal.

Ketika aksi babak pertama semakin menghampiri penghujung, NPNG FC kembali menyamakan kedudukan apabila pertahanan, Haikal Musyrif tertampan bola ke gawang sendiri hasil sepakan penjuru diambil Lukhman Noor Hakim.

Umar Etudayeabdulmajid muncul wira buat NPNG FC Damansara Damai apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan Belia Selangor menanduk masuk bola sepakan percuma daripada Lukhman Noor Hakim pada minit ke-49.

Jaringan tersebut sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat skuad bimbingan Micheal Palani itu untuk berada di tangga kedua dengan sembilan mata manakala Belia Selangor ditangga keenam dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan.

Pemain terbaik perlawanan: Lukhman Noor Hakim (NPNG FC Damansara Damai)