SA Klasiko FC mencatatkan kemenangan kedua dalam saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas berjaya menundukkan NPNG FC Damansara Damai 2-1 pada aksi yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Tampil selaku pasukan pilihan pada edisi kali ini, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan kemas dan menghiburkan sepanjang perlawanan.
Hasil lorongan cantik dilakukan Muhammad Rasydan yang mencari Ammar Anuwar dalam kawasan penalti, pemain tengah SA Klasiko itu dengan tenang menggelecek penjaga gol, Mohd Hafiz Arbaen untuk gol pendahuluan pada minit ke-14.
Tersentak dengan jaringan tersebut, NPNG FC Damansara Damai yang dibimbing Micheal Palani memperkemaskan aksi dan berjaya mencipta beberapa percubaan bahaya ke kubu SA Klasiko.
Penjaga gol SA Klasiko FC, Mohd Hafizi Hamdan bagaimanapun bertindak cemerlang menafikan dua serangan pantas oleh Lukhman Noor Hakim dan Ridhwan Johan pada minit ke-17.
Hafizi terus membuktikan ketangkasannya dengan menafikan percubaan Haziq Fikri Hussein pada masa kecederaan babak pertama.
Jaringan yang dinantikan NPNG FC akhirnya menjelma juga pada ke-49 apabila Ridhwan Johan menyempurnakan peluang dalam kawasan penalti untuk kembali menyamakan kedudukan.
Kem SA Klasiko FC melonjak riang pada minit ke-62 setelah Wong Kah Heng menjadikan kedudukan 2-1 sekaligus menghadiahkan kemenangan kedua berturut-turut buat pasukan tersebut.
Pemain terbaik perlawanan: Muhd Faiq Muhd Shah (SA Klasiko FC)