Gombak RRM FC Unlimited meraih kemenangan sulung dalam saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) selepas berjaya menundukkan SA AZE FC 2-0 di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Kelab yang berpangkalan di Gombak itu tidak menunggu lama bagi membuka tirai jaringan apabila Muhammad Rafsham Iqmal menanduk masuk bola berpunca sepakan sudut diambil Muhammad Amin Asraf Yaacob.
Aksi pada separuh masa pertama memperlihatkan dominasi daripada Gombak RRM FC dan Muhammad Nur Affandi jelas menjadi duri dalam daging buat SA AZE FC.
Dalam pada itu, kedua-dua penjaga gol iaitu Mohamad Firdaus Yusof [Gombak RRM FC Unlimited] dan Mohd Syahidan Mohamad juga mencuri tumpuan dengan aksi tangkas dipamerkan dalam usaha menafikan asakan yang diterima..
Selepas daripada jaringan pertama Gombak RRM FC itu, serangan demi serangan yang dilancarkan seringkali dinafikan kedua-dua penjaga gol tersebut.
Keadaan itu bagaimanapun berubah pada minit ke-68 apabila Rameshjit Singh menjadikan kedudukan 2-0 selepas melakukan percubaan susulan hasil sepakan penalti Nur Affandi yang ditepis Syahidan.
Jaringan itu dibantah oleh para pemain SA AZE FC tetapi pengadil perlawanan tetap dengan keputusan dengan mengesahkan gol daripada Ramshjit itu untuk perlawanan berkesudahan 2-0 buat kelab Gombak tersebut.
Pemain terbaik perlawanan: Muhammad Nur Affandi (Gombak RRM FC Unlimited)