Piala Cabaran 2019: JDT II Nyaris Dimalukan UKM FC, Muncul Juara Menerusi Sepakan Penalti

Pasukan JDT II yang dibarisi pemain bintang muncul pemenang Piala Cabaran edisi kedua selepas berjaya menumpaskan pasukan kerdil UKM FC dalam perlawanan akhir kedua menerusi sepakan penalti di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam perlawanan yang penuh dramatik ini, penjaga gol Malaysia B-23, Muhammad Haziq Nadzli muncul wira JDT II selepas cemerlang menyelematkan tiga sepakan penalti pasukan tuan rumah.  Sementara UKM FC pula terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara buat dua tahun berturut-turut.

Pasukan pilihan, JDT II memulakan perlawanan dengan menyenaraikan dua pemain yang baru sahaja menyertai pasukan tersebut dari JDT iaitu Muhd Fadhli Shas dan Ahmad Hazwan Bakri dalam kesebelasan utama.

Mereka turut menurunkan beberapa pemain yang pernah beraksi buat pasukan kebangsaan seperti Haziq Nadzli, Syazwan Andik, Shakir Shaari serta dua pemain import Nicolas Fernandez dan Bruno Soares.

Kredit Foto: Johor Southern Tigers

Sementara itu, Penolong Jurulatih UKM FC, Juzaili Samion mempertaruhkan dua pemain import, Milad Zanidpour dan Matteo Roskam serta pemain-pemain yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

JDT II yang hadir ke Stadium Cheras dengan membawa bekalan satu gol dari perlawanan pertama tempoh hari, dilihat berjaya menguasai permainan dalam separuh masa pertama, namun kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sehingga tamat separuh masa pertama.

Dalam separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan masing-masing. Pujian harus diberikan kepada penjaga gol muda UKM FC, Khatul Anuar yang cemerlang menafikan percubaan-percubaan merbahaya dari pasukan pelawat.

Akhirnya pada minit ke-82, penggempur utama The Varsity Boys, Matteo Roskam berjaya memecah kebuntuan selepas berjaya menjaringkan gol pertama hasil hantaran Milad Zanidpour sekaligus mengikat kedudukan 1-1 secara agregat.

Kredit Foto: MFL

Kedua-dua pasukan mula membuat pertukaran dengan JDT II memasukkan penjaring gol dalam perlawanan pertama, Amirul Hadi Zainal. UKM FC pula memasukkan Iqbal Samsudin menggantikan Hafizi Amiruddin.

Tamat 90 minit masa sebenar perlawanan, kedua-dua pasukan akan bermain dalam 30 minit masa tambahan untuk menentukan pemenang.

Dalam masa tambahan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi dikecewakan dengan kecekapan penjaga gol Khatul Anuar dan Haziq Nadzli.

Selepas berakhir 120 minit masa perlawanan, pemenang akan ditentukan menerusi sepakan penalti bagi memastikan pemilik Piala Cabaran musim ini.

Status pasukan bintang nyata tidak menggentarkan pemain UKM FC yang berjaya mengekalkan disiplin terutama di bahagian pertahanan sehingga berjaya memastikan gawang mereka tidak dibolosi sepanjang 120 minit masa perlawanan.

UKM FC terlebih dahulu memulakan sepakan panalti dan menjaringkan gol menerusi Matteo Roskam, Milad Zanidpour, Michael Ijezie, Syed Sobri, Iqbal Samsudin dan K. Rueben.

Sementara penjaring gol penalti pasukan JDT II adalah Shakir Shaari, Amirul Hadi, S. Kumaahran, Darren Lok dan Fadhli Shas.

Tamat sahaja perlawanan, penyokong JDT II dilihat menyerbu masuk ke dalam padang dan meluru ke arah pemain dan pegawai pasukan tersebut sehingga memaksa pasukan keselamatan bertindak meleraikan mereka.

Mengikut rekod, UKM FC telah berjaya melangkah ke peringkat akhir buat kali kedua berturut-turut. Dalam perlawanan akhir musim lepas, The Varsity Boys dikecewakan pasukan Terengganu FC (TFC) II dengan kekalahan 4-2 secara agregat.

Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan dirangkul oleh penjaga gol UKM FC Khatul Anuar Md Jalil. Pemain yang dipinjamkan dari pasukan Kuala Lumpur ini turut muncul penjaga gol paling banyak tidak dibolosi (empat perlawanan) sepanjang kejohanan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN