Jaringan lewat permainan Ahmad Hafiz Abdul Aziz berjaya menghadiahkan tiga mata penuh buat MBSA FC untuk menumpaskan Bukit Kapar FC 3-2 pada aksi pertama saingan minggu ketiga Selangor Champions League 2019 (SCL2019) yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Aksi seimbang tanpa sebarang serangan berbahaya dipamerkan kedua-dua pasukan berubah pada minit ke-23 apabila Muhammad Amirul Syafieq membuka tirai jaringan buat MBSA FC.
Jaringan tersebut berpunca daripada hantaran dari sebelah kiri pintu gol Bukit Kapar FC dilakukan Muhammad Hafizi Ahmad dan kemudiannya disudahkan dengan baik oleh Muhammad Amirul yang tidak dikawal dalam kawasan penalti.
Kegembiraan kem MBSA FC itu hanya bertahan empat minit sahaja selepas kapten, Mohd Firdaus Haron tertampan bola masuk ke gawang sendiri dalam usahanya mengeluarkan bola hasil hantaran lintang Fitri Shazwan.
Memasuki babak kedua aksi bertambah menarik dengan tiga lagi jaringan berjaya dihasilkan.
Ahmad Hafiz kembali meletakkan MBSA dihadapan pada minit ke-39 berpunca rembatan dari luar kawasan penalti diledakkannya yang sekaligus gagal dihalang penjaga gol, Muhammad Syafiq Aladin.
Kedudukan sekali lagi terikat selepas sepakan percuma cantik yang diambil pada jarak kira-kira 20 meter oleh Firdaus Musa terus menerjah gawang MBSA FC pada minit ke-44.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan 2-2, Ahmad Hafiz muncul wira buat MBSA FC selepas penyerang tersebut dengan tenang menyempurnakan peluang terhidang pada masa kecederaan.
Pemain terbaik perlawanan: Ahmad Hafiz Abdul Aziz (MBSA FC)