Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Fakta Sebenar Sejarah Penubuhan & Perkembangan PKNS FC Dalam Landskap Bola Sepak Negara

Semalam satu artikel telah diterbitkan oleh kami bertajuk “Benarkah PKNS FC Kaya Dengan Sejarah di Liga M Yang Boleh Dibanggakan?”

Artikel tersebut mendapat maklum balas daripada Pengurus Operasi & Komersil PKNS FC, Encik Fadzlie Ahmad.

Adakah PKNS FC sebuah kelab yang benar-benar kaya dengan sejarah, ataupun hanya fantasi yang indah khabar dari rupa oleh sebahagian mereka yang mempunyai kepentingan?

Posted by Semuanya BOLA on Friday, October 11, 2019

Kami di Semuanya BOLA berbesar hati menyiarkan artikel beliau di platform kami pada hari ini.


Izinkan saya untuk memberi maklum balas mengenai sejarah dan perkembangan pasukan PKNS FC.

Saya sesekali tidak mahu menyentuh mengenai isu ‘feeder club’ kerana ianya di dalam pertimbangan pihak pengurusan. Namun sekadar tampil untuk membetulkan beberapa fakta yang seperti menidakkan sejarah PKNS FC selama ini.

KOMPLEKS SUKAN PKNS DI KELANA JAYA MERUPAKAN KEBANGGAAN DAN MARUAH PKNS
—–
Kompleks Sukan PKNS di SS7, Kelana Jaya…

Posted by PKNS FC on Thursday, October 10, 2019

Antaranya kenyataan yang terdapat di dalam artikel tersebut adalah:

Berbanding Persatuan Bola Sepak Selangor yang ditubuhkan pada tahun 1936, kelab PKNS FC ditubuhkan lebih lewat dari FAS iaitu pada tahun 1967, 10 tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Anda tidak boleh membuat perbandingan di antara pasukan negeri dengan kelab secara langsung. Semestinya pasukan negeri telah lama bertapak di Malaysia.

Selangor yang merupakan Negeri-Negeri Selat merupakan antara negeri terawal yang mempunyai pasukan di Malaysia. Oleh sebab itu Selangor telah memenangi Piala HMS Malaya / Piala Malaysia dengan jumlah yang banyak.

Sedar tidak sedar, sudah hampir seabad Piala Malaysia berlangsung. Menjelang perlawanan ketiga peringkat kumpulan untuk edisi 2019, kami kongsikan sejarah penganjuran pertandingan ini sejak 1921.

Posted by Semuanya BOLA on Friday, August 16, 2019

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah terlibat dalam arena sukan bermula tahun 1967 melalui penubuhan Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR)

Penglibatan ini melakar banyak kejayaan dengan melahirkan beberapa figura di dalam sukan bola sepak, hoki, sepak takraw dan banyak lagi. Kejayaan ini bukan sekadar di peringkat syarikat malah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Namun, harus diingat bahawa pemain-pemain terkenal seperti Arwah Mokhtar Dahari, (R) Arumugam, (Datuk K.) Rajagopal, Reduan Abdullah dan Santokh Singh hanya bermain untuk PKNS sewaktu kelab itu bermain di bawah Liga Selangor sekitar tahun 70-an dan 80-an dan bukan pada kejohanan bertaraf kebangsaan seperti Piala Malaysia.

Nama-nama di atas bukan sekadar bermain tetapi turut bekerja sebagai staff PKNS. Sebagai contoh, Allahyarham Dato’ Mokhtar Dahari adalah kerani di PKNS. Rutin mereka adalah bekerja dan di sebelah petangnya berlatih untuk syarikat dan negeri Selangor.

KSR PKNS bukan sahaja bertanding di Liga Selangor tetapi di peringkat kelab kebangsaan iaitu Liga FAM. Ketika itu pertandingan peringkat kebangsaan adalah Piala Malaysia untuk negeri manakala Liga FAM untuk kelab.

Untuk rekod, KSR PKNS pertama kali menjuarai Piala FAM secara bersama dengan Negeri Sembilan Indians pada tahun 1978 setelah kedua-dua pasukan terikat seri 0-0.

Tahun berikutnya, KSR PKNS menewaskan Hong Chin dengan keputusan 2-1 untuk menjuarai Piala FAM. Antara pemain yang membarisi skuad ini adalah K Rajagobal dan Mokhtar Dahari.

KSR PKNS pertama kali menjuarai Piala FAM secara bersama dengan Negeri Sembilan Indians pada tahun 1978.

KSR PKNS sekali lagi menjuarai Piala FAM dengan menewaskan MK Land pada tahun 2003 dan telah membentuk pasukan profesional pada tahun 2004 dengan nama PKNS Football Club (PKNS FC) untuk menyertai Liga Premier anjuran FAM.

Ini kerana jika dinilai kepada pencapaian kelab PKNS di persada bola sepak profesional sejak 2004, selain berjaya muncul juara Liga Premier pada tahun 2011 (yang merupakan liga tier ke-2 pada waktu tersebut), mereka tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan liga tertinggi di Malaysia seperti Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia. Adakah pencapaian PKNS FC di peringkat profesional ini dianggap cukup signifikan dan bersejarah?

KSR PKNS menjuarai Piala FAM dengan menewaskan MK Land pada tahun 2003 dan telah membentuk pasukan profesional pada tahun 2004 dengan nama PKNS Football Club (PKNS FC) untuk menyertai Liga Premier anjuran FAM.

Ini merupakan satu perubahan yang besar buat PKNS FC kerana akhirnya dapat bersaing dengan pasukan negeri di dalam liga tertinggi negara.

Setelah beberapa tahun bersaing, PKNS FC akhirnya berjaya dinobatkan sebagai Juara Liga Premier pada tahun 2011 seterusnya layak bersaing di Liga Super pada tahun berikutnya.

Ya, PKNS FC juara tier ke-2 tapi layak ke peringkat tertinggi iaitu Liga Super. Bukankah itu pencapaian terbaik bagi sebuah kelab kecil?

Sejarah tercipta pada tahun 2016 apabila PKNS FC layak ke Perlawanan Akhir Piala FA buat pertama kali namun tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pencapaian tertinggi PKNS FC diraih pada tahun lalu apabila menduduki tangga ketiga unifi Liga Super, di belakang JDT dan Perak. Selain itu, PKNS FC telah membawa balik Piala Sultan Selangor ke bumi Darul Ehsan.

Kejayaan ini cukup signifikan dan bersejarah buat kelab kecil seperti PKNS FC namun janganlah disamakan dengan pasukan negeri, sekurangnya perbandingan hendaklah dibuat dengan kelab setara.

Mujurlah, pada musim ini PKNS FC berjaya muncul juara Piala Presiden buat kali pertama dan Naib Juara Piala Belia yang mencerminkan program pembangunan akar umbi mereka masih lagi gah seperti yang disebut-sebut

Mungkin penulis artikel tersebut sudah lupa bahawa pada musim lalu PKNS FC telah muncul juara Piala Belia dan merupakan kelab pertama menjadi juara. Bukankah ini sejarah?

Sementara itu, kejayaan layak ke final pada tahun ini buat kedua-dua pasukan merupakan kesinambungan program pembangunan akar umbi PKNS FC yang bermula dari Akademi PKNS.

Untuk pengetahuan, Akademi PKNS FC telah ditubuhkan sejak dari tahun 2000 yang kini mempunyai sebanyak 300 pelatih dan berlatih pada setiap hari Sabtu dan Ahad di Kelana Jaya.

MINGGU GEMILANG PKNS FC
—-
Skuad Piala Belia melengkapkan minggu gemilang PKNS FC apabila muncul juara Piala Belia…

Posted by PKNS FC on Sunday, August 26, 2018

Kredit kejayaan ini harus berikan kepada Presiden, Hajah Siti Zubaidah Abd Jabar yang mana beliau amat menitikberatkan program pembangunan akar umbi setelah mengambilalih tampuk kepimpinan pada tahun 2014.

PKNS FC bangga mempunyai seorang presiden wanita yang mengambil berat mengenai pasukan dan buktinya banyak kejayaan diperolehi sepanjang kepimpinan beliau.

Menyentuh soal pembangunan akar umbi PKNS FC, penulis juga ingin bertanyakan kepada penyokong yang tidak berpuas hati dengan penggabungan ini; berapa ramaikan pemain PKNS FC yang berasal dari akademi mereka yang bermain secara kerap di kesebelasan utama?

Dari kajian penulis (betulkan saya jika saya salah), hanya terdapat seorang sahaja pemain akademi PKNS yang berjaya memasuki kesebelasan utama skuad senior kelab ini iaitu Taufiq Ar Rasyid yang bermain sebagai penjaga gol kedua selepas Zarif Irfan

Menjawab petikan di atas, untuk generasi pertama akademi beberapa orang pemain telah berjaya menembusi ke skuad Liga Super iaitu Tauffiq Ar-Rashid dan Aliff Haikal Sabri.

Mereka ini masih bersama skuad Liga Super PKNS FC, manakala Azrif Nasrulhaq kini bersama JDT, Khairu Azrin Khazali (Terengganu FC) dan Mohd Nazrin Syamsul Bahari (UiTM FC).

Sementara itu bagi pasukan Piala Presiden yang menjuarai kejohanan tersebut baru-baru ini, terdapat 7 orang daripada mereka merupakan produk dari Akademi PKNS FC sejak berumur dari 8 tahun lagi.

Mereka adalah Alifh Aiman, Arash Ar-Rasyid, Shafizi Iqmal, Adib Haikal Sabri (adik kepada Aliff Haikal), Khairu Anuar Khazali(adik Khairu Azrin), Mior Dani Armin dan Asyraf Nasir. Ada di antara ini telah dipanggil untuk menyertai skuad bawah umur kebangsaan.

Selain itu, 8 orang pemain Piala Presiden musim ini telah dipanggil berlatih dan menyertai skuad Liga Super. Antara yang mencuri tumpuan adalah Shivan Pillay Asokan dan Aliff Haikal Hakim Lau yang membarisi kesebelasan utama.

PASUKAN PIALA PRESIDEN PKNS FC MAHU CATAT SEJARAH

Pasukan PKNS FC pertama kali layak ke final Piala Presiden,…

Posted by PKNS FC on Thursday, September 19, 2019

PKNS FC sedar proses pembentukan dan kematangan seseorang memerlukan kesabaran dan memakan masa yang panjang.

Sebagai contoh, teras pasukan Piala Presiden musim ini adalah daripada pasukan Piala Belia yang muncul juara pada musim lalu. Dan seterusnya PKNS FC akan membentuk teras pasukan senior, dan begitulah prosesnya dari peringkat akademi.

Selain itu, atas nama pembangunan bakat muda, PKNS FC juga telah membayar pampasan sebanyak ratusan ribu kepada kelab SC Beira Mar untuk membawa balik wonderkid, Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia. Namun setahun selepas itu, PKNS FC melepaskan Nazmi Faiz ke Selangor atas dasar kemajuan bolasepak Selangor.

Diharapkan penjelasan mengenai sejarah ringkas, kejayaan pembangunan akar umbi dapat membuka mata menegenai peranan PKNS FC dalam arena bola sepak tempatan, bukan sahaja di Selangor malah di Malaysia.

Dana yang dikeluarkan oleh PKNS untuk PKNS FC adalah dipastikan berbaloi dengan pelaburan. Selain digunakan untuk perancangan cukai syarikat, ianya juga digunakan sebagai medium pengiklanan PKNS.

Bukannya niat untuk menentang segala perubahan, namun kita perlu bergerak seiringan.

Tengku Amir minta lima tahun perkasa Red Giants

Posted by Berita Harian Online on Friday, June 29, 2018

Bak kata Presiden Persatuan Bolasepak Selangor, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, kita perlu melihat negara lain, dalam satu bandar ada dua kelab besar seperti Manchester United dan Manchester City, jadi kenapa kenapa sebuah kelab korporat tidak boleh bersaing?

Buat penulis artikel “Benarkah PKNS FC Kaya Dengan Sejarah di Liga M Yang Boleh Dibanggakan?”, saya mengalu-alukan kehadiran anda ke Kompleks Sukan PKNS di Kelana Jaya bagi bertemu legenda-legenda PKNS FC dan melihat perkembangan pasukan.

Kami jamin, anda pasti teruja!

Fadzlie Ahmad
Pengurus Operasi dan Komersil PKNS FC

 

Nota Editor: Artikel ini adalah kiriman Pengurus Operasi dan Komersil PKNS FC, Encik Fadzlie Ahmad, telah disunting dan diterbitkan dengan kebenaran dan tidak mewakili pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.