Subang City FC mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Selangor Champions League 2018 selepas menundukkan Klang Valley United (KVU) 4-0 di Arena MPSJ sebentar tadi.
Pemain tengah kreatif, Naven Devarajoo hampir membuka tirai jaringan apabila sepakan percuma yang diambil berjaya ditepis keluar penjaga gol KVU, Mitchell Gilbert untuk memberikan sepakan sudut buat Subang City FC.
Sepakan sudut diambil Naven pada minit ke-11 itu mencari Mohamad Azeddy Misra yang tidak dikawal untuk terus melakukan tandukan bagi jaringan pendahuluan buat Subang City FC.
Subang City FC yang menggunakan kesempatan kelincahan pemain sayap dimiliki berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Syafiq Abdul Hamid pada minit ke-24.
Jaringan tersebut berpunca daripada larian deras di sebelah kiri pintu gol KVU oleh Asyiff Zulkefli yang menewaskan pertahanan lawan dan seterusnya melakukan hantaran silang buat Syafiq yang dengan mudah menjadikan kedudukan 2-0.
Dua jaringan yang dihasilkan masih belum cukup buat Subang City apabila mereka menambah jaringan ketiga di masa kecederaan separuh masa pertama.
Hantaran jauh dari tengah padang oleh Azeddy terus mencari Syafiq yang terus meluru pantas melepasi kawalan pertahanan untuk menyempurnakan peluang bagi menghadirkan gol ketiga perlawanan.
Memasuki babak kedua, Klang Valley United yang dibimbing Shazwan Wong cuba untuk bangkit memberikan saingan.
Penyerang import KVU, Aziz Akeem memiliki peluang terbaik bagaimanapun rembatan yang dilakukannya dari sebelah kiri pintu gol Subang City berjaya dinafikan palang gol pada minit ke-53.
Usaha KVU gagal menghadirkan jaringan yang diharapkan tetapi sebaliknya Subang City menambah jaringan keempat menerusi Naven pada lewat permainan untuk mengesahkan kemenangan 4-0.
Disebalik kemenangan besar itu, Subang City terpaksa menelan kepahitan apabila penjaring gol sulung mereka, Azeddy Misra dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-70.
Pemain terbaik perlawanan: Naven Devarajoo (Subang City FC)