Satu lagi keputusan seri dicatatkan dalam saingan Selangor Champions League 2018 pada petang ini selepas Subang City FC terikat 1-1 bertemu Club Atletico De Bukit Jelutong (CABJ) sebentar tadi.
Aksi kedua pada hari ini yang berlangsung di Arena MPSJ itu juga memperlihatkan corak permainan yang sedikit hambar, bagaimanapun dua jaringan terhasil pada babak pertama.
Subang City FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Amirul Aswad Subro pada minit ke-21 selepas mendapat lorongan kemas dari rakan sepasukannya.
Amirul Aswad yang meluru pantas dengan tenang menggelecek penjaga gol CABJ, Amirul Haziq Amran untuk jaringan pertama.
CABJ yang tewas 5-0 pada perlawanan minggu lalu ketika bertemu KRU Port Klang FC, kembali ceria selepas berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29.
Gol tersebut terhasil apabila penyerang kelahiran Nigeria, Olatunde Qudus yang berjaya merampas bola dari kawalan pertahanan lawan terus meledakkan gol penyamaan.
Separuh masa kedua memperlihatkan aksi seimbang dengan kedua-dua pasukan semakin giat melancarkan serangan ke kubu lawan masing-masing.
Amirul Aswad hampir menambah jaringan buat Subang City selepas beliau yang mendapat umpanan dalam kotak penalti melepaskan rembatan padu yang dinafikan Amirul Haziq.
Ledakan sepakan percuma dari Naven Devarajoo yang terkena palang juga turut mengecewakan Subang City yang diberikan sokongan oleh ‘Ultras’ mereka.
Walaupun CABJ berusaha keras untuk mengasak ke kubu Subang City, pasukan yang boleh dilabelkan sebagai tuan rumah itu masih mampu untuk mengawal permainan dengan baik.
Segala usaha yang dikerah para pemain kedua-dua pasukan masih gagal untuk menjelmakan jaringan yang diharapkan untuk perlawanan berkesudahan dengan 1-1.
Keputusan yang adil buat Subang City FC dan Club Atletico De Bukit Jelutong.