Pertembungan dua pasukan pilihan Selangor Champions League 2018, KRU Port Klang FC dan NPNG FC Damansara Damai berkongsi satu mata selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di Arena MPSJ, sebentar tadi.
Hujan yang turun sebelum dan ketika perlawanan berlangsung jelas tidak merencatkan aksi kedua-dua pasukan bagi menyajikan corak permainan yang berkualiti.
NPNG FC Damansara Damai terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-9 apabila Ridhwan Johan yang membuat percubaan susulan ekoran rembatan padu dari Lukhman Noor Hakim, berjaya menewaskan Sulaiman Ramlan di gawang KRU Port Klang FC.
Namun, kegembiraan NPNG FC hanya mampu bertahan seminit sahaja selepas Rosedy Muslim yang mendapat hantaran jauh dari rakan sepasukan, menanduk masuk bola untuk kembali menyamakan kedudukan.
Lukhman sekali lagi meledakkan rembatan dari luar kotak penalti, bagaimanapun kali ini Sulaiman Ramlan lebih bersedia untuk menangkap kemas percubaan voli tersebut.
Mamadou Barete berjaya menjaringkan gol pada minit ke-43 hasil kelam kabut di hadapan gol namun, pemain import kelahiran Republic of Guinea itu terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran.
Rosedy Muslim turut kecewa selepas rembatan cantik dari luar kotak penalti yang diledakkan pada minit ke-47 hanya sedikit melewati palang gol.
NPNG FC jelas mendominasi aksi di babak kedua dengan penguasaan serta serangan yang dilancarkan.
Bagaimanapun pertahanan KRU Port Klang FC lebih kental bertahan menyerap asakan yang diberikan jentera serangan NPNG FC.
Penjaga gol, Sulaiman Ramlan juga memainkan peranan penting buat KRU Port Klang bagi meraih satu mata ini terutamanya keupayaan beliau menafikan rembatan padu dari pemain NPNG FC pada minit ke-70.
Kedudukan 1-1 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
Pemain terbaik perlawanan: Sulaiman Ramlan (KRU Port Klang FC)