Quantcast

BERITA KOMUNITI

SCL2018: Khairil Asyraf Wira Kajang AZS Selepas Selamatkan 3 Penalti ABMK

Aksi cemerlang penjaga gol Kajang AZS, Khairil Asyraf dalam penentuan penalti membolehkan Kajang AZS mara ke separuh akhir Selangor Champions League 2018 selepas terikat 1-1 dengan Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) dalam masa sebenar di Stadium MPSJ malam tadi.

Berbanding Kajang AZS, ABMK memulakan perlawanan dengan lebih baik meskipun turun tanpa pemain sayap bintang mereka, Nuriskandar Abdul Hamid. Jentera tengah mereka yang dikawal oleh Azery Zainal Abidin dan Zulhilmi Zaki dominan menguasai padang dan mencipta banyak peluang untuk trio serangan Fazli Baharudin, Farees Ismail dan Shah Razmi.

Cuma yang canggungnya bagi ABMK, Fazli Baharudin yang biasanya bermain di bahagian sayap nampak tidak selesa ditugaskan bermain sebagai penyerang utama di tengah.

Kapten ABMK, Fazli Baharudin (dua dari kanan) mempamerkan aksi di bawah prestasi sebenar di posisi penyerang tengah ketika menentang Kajang AZS. (Foto: Rushdi Salleh / asiana.my)

Ini menyebabkan banyak siri-siri serangan mereka gagal diterjemahkan kepada peluang gol. Ditambah pula dengan kecemerlangan barisan pertahanan Kajang AZS, ABMK bergelut untuk menguji Khairil Asyraf yang hanya perlu melakukan 1 aksi menyelamat sepanjang separuh masa pertama.

Sebaliknya Kajang AZS yang banyak bertahan pada separuh masa pertama yang menjaringkan gol terlebih dahulu. Berpunca daripada kekasaran Zul Faiq yang menjatuhkan Abdulrazzag Alkanouni dalam kotak penalti pada minit 32′, pengadil kemudiannya tidak teragak-agak memberikan penalti untuk Kajang AZS.

Phillip Abbah tidak melakukan sebarang kesilapan menyempurnakan penalti tersebut untuk gol pertama perlawanan dan gol ke-11 peribadinya dalam Selangor Champions League 2018.

Pendahuluan Kajang AZS bagaimanapun tidak bertahan lama. 2 minit selepas separuh masa kedua bermula, ABMK menyamakan kedudukan 1-1 menerusi gol Ibnu Hisyam susulan daripada sepakan percuma Zulhilmi Zaki.

ABMK meneruskan momentum serangan mereka 6 minit kemudian menerusi larian kencang Nuriskandar di sayap kiri. Bagaimanapun ketika nampak seperti percubaan Nuriskandar akan menerjah ke jaring, ia sempat diselamatkan pada saat-saat terakhir oleh pertahanan Kajang AZS.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit untuk mengheret kedua-dua pasukan ke penentuan penalti.

Dalam penentuan penalti, 3 aksi penyelamat daripada penjaga gol Kajang AZS, Khairil Asyraf membolehkan pasukannya mara ke separuh akhir untuk menang 3-0 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit masa sebenar.

Pemain terbaik perlawanan: Khairil Asyraf (Kajang AZS)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!