Kemenangan selesa diraih MPKJ FC selepas berjaya menundukkan Bukit Kapar FC 3-0 pada aksi minggu pertama kumpulan B Selangor Champions League (SCL) 2019 yang berlangsung di Arena MPSJ, Subang Jaya, sebentar tadi.
MPKJ FC yang layak ke peringkat suku akhir SCL musim lalu dilihat menyandarkan harapan kepada dua pemain import, Aiyakhaire Daniel Emmanue dan Saliu Ahmed Abiodun di jentera serangan manakala bekas pemain Selangor, Mohd Fitri Shazwan memperkuatkan Bukit Kapar FC.
Bukit Kapar terlebih dahulu menguji gawang MPKJ seawal minit ketiga tetapi rembatan diledakkannya sedikit Rafiuddin Ramly tersasar.
MPKJ kemudiannya memperkemaskan aksi untuk tampil lebih bertenaga dan menjelmakan peluang terbaik menerusi Darshen Ganesan Pillay pada minit ke-27.
Percubaan menarik hasil gerakan solo Darshen di luar kawasan penalti bagaimanapun berjaya ditepis keluar penjaga gol Bukit Kapar FC, Mohamad Faiz Ismail.
Gol pendahuluan yang dinantikan MPKJ FC akhirnya menjelma pada minit ke-30 selepas Aiyakhaire menghukum kesilapan dilakukan Faiz Ismail.
Aiyakhaire meluru pantas bagi memberikan tekanan buat Faiz yang lambat melakukan sepakan selepas menerima hantaran daripada Mohd Aidil Elfis dan usaha keras tersebut membuahkan hasil untuk gol pembukaan buat MPKJ FC.
Ketika permainan babak pertama semakin menghampiri penghujung, Radzi Pilus terlepas peluang untuk kembali menyamakan kedudukan setelah rembatan Radzi Pilus ketika beliau tidak dikawal pertahanan juga sedikit tersasar.
Hanya selepas empat minit perlawanan babak kedua kembali bersambung, S. Thibanraj menjadikan kedudukan 2-0 selepas pemain gantian itu menanduk masuk bola susulan sepakan percuma yang diambil Mohd Fauzi Adnan.
Malang bagaimanapun menimpa pasukan dari Kajang itu apabila pemain muda, Muhammad Faisal diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-54.
Keadaan itu membuatkan MPKJ FC sedikit ditekan berikutan kekurangan seorang pemain, tetapi para pemain mereka yang diketuai Fauzi begitu kental menyerap tekanan diberikan Bukit Kapar FC.
Dalam keghairahan Bukit Kapar mengatur gerakan, Aiyakhaire terus membuktikan kualiti dimilikinya apabila menambah jaringan kedua peribadi setelah mudah menanduk masuk bola hasil situasi sepakan penjuru yang diambil Thibanraj untuk perlawanan berkesudahan dengan keputusan 3-0 memihak MPKJ FC.
Pemain terbaik perlawanan: Aiyakhaire Daniel Emmanue (MPKJ FC)